MIDA alu-alukan pusat data serantau pertama Microsoft di Malaysia: Peneraju transformasi ekonomi digital Malaysia

 |   Microsoft Malaysia

Microsoft datacenter

Kuala Lumpur, 20 April 2021 – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berbangga untuk mengumumkan pelancaran inisiatif Microsoft Bersama Malaysia sebagai satu mercu jaya penting bagi menerajui agenda digital negara, sejajar dengan aspirasi MyDIGITAL.

Rancangan Microsoft untuk menubuhkan pusat data serantau (datacentre region) pertama di Malaysia dan peranannya sebagai pemangkin infrastruktur digital dijangka menggiatkan lagi inovasi negara dalam teknologi awan, lantas mengukuhkan keyakinan pelabur tempatan dan asing di Malaysia. Komitmen Microsoft untuk meningkatkan kemahiran sehingga 1 juta rakyat Malaysia menjelang Disember 2023 bakal memperkasakan tenaga kerja digital tempatan untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital negara.

Inisiatif Microsoft Bersama Malaysia telah dilancarkan semalam oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir di majlis pelancaran ialah Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Ekonomi; Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kewangan; dan Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia. Usaha sama ini mengukuhkan komitmen jangka panjang Microsoft untuk membantu memperkasakan ekonomi digital terangkum Malaysia menerusi pakatan awam-swasta.

En. Arham Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, yang turut hadir bersama, mengucapkan tahniah kepada Microsoft atas inisiatif Bersama Malaysia. “Malaysia mempunyai peluang keemasan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai lokasi pilihan untuk peserta teknologi. Pelaburan Microsoft dalam pusat data serantau di negara kita nyata membuktikan dasar pelaburan Malaysia yang menyokong perniagaan dan perdagangan serta bersifat mesra perniagaan. Sebagai peserta teknologi global, langkah Microsoft meluaskan capaiannya dalam infrastruktur digital di Malaysia akan membantu membina tunjang ekosistem digital yang mampan. Lebih penting lagi, komitmen Microsoft untuk memanfaatkan infrastruktur digitalnya yang bertaraf dunia akan menaik taraf keupayaan kita sebagai sebuah negara digital,” kata En. Arham.

“Penglibatan jangka panjang Microsoft selama hampir 30 tahun di Malaysia juga mencerminkan keyakinan mereka dalam bakat-bakat tempatan untuk memacu transformasi digital negara. Kami akan terus menyokong usaha Microsoft di Malaysia, khususnya untuk mencetus transformasi dalam persekitaran, infrastruktur dan tenaga kerja mahirnya, lantas meningkatkan daya saing dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan teknologi tinggi,” tambahnya.

Pusat data serantau Microsoft dijangka membawa manfaat kepada perusahaan tempatan, pihak Kerajaan dan masyarakat secara umumnya meliputi semua sektor. Pusat data serantau merangkumi beberapa pusat data yang terletak di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar, dibina berlandaskan perimeter yang ditakrifkan mengikut tahap kependaman dan dihubungkan melalui rangkaian kependaman rendah terkhusus.  Para pengguna boleh memanfaatkan capaian pantas kepada perkhidmatan awan terkini Microsoft, dan juga keupayaan simpanan data dan aplikasi di dalam negara.

Pusat data serantau ini juga menyediakan Zon Ketersediaan Azure (Azure Availability Zones), dengan ciri-ciri unik seperti lokasi fizikal yang dilengkapi dengan sumber kuasa bebas; sokongan rangkaian dan pendinginan untuk ketahanan tambahan bagi menampung kegagalan pusat data. Ini akan memastikan data terus boleh didapati dan terlindung, walaupun berlaku kejadian yang memberi kesan kepada tapak pusat data seperti putus bekalan kuasa; tanpa menjejaskan penempatan, privasi, keselamatan atau pematuhan data.

Berasaskan kajian yang dijalankan oleh IDC[1], pelaburan Microsoft di Malaysia akan membantu menjana hasil mencecah kira-kira RM19 bilion[2] dalam tempoh empat tahun (4) dalam ekosistem negara yang terdiri daripada rakan-rakan kongsi dan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan awan. Tambahan lagi, Microsoft dan rakan-rakan kongsinya, bersama dengan pelanggan pengguna perkhidmatan awan juga memainkan peranan penting untuk memperluas tenaga kerja negara, menyumbang lebih daripada 19,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung dalam tempoh yang sama.

En. K. Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, menambah, “Penyediaan infrastruktur digital yang mantap dan tenaga kerja digital yang bersedia untuk menghadapi masa depan akan memainkan peranan besar untuk menjamin daya tahan dan pemulihan ekonomi Malaysia. Kami menyokong sepenuhnya wawasan progresif dan mantap Kerajaan seperti yang disasarkan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital  Malaysia. Kami yakin bahawa dasar mengutamakan digital dan awan yang digariskan dalam rangka tindakan akan terus memacu inovasi dan menggiatkan transformasi negara untuk menjadi pemimpin serantau dalam ekonomi digital. Demi menyokong usaha ini dan sejajar dengan komitmen Microsoft Bersama Malaysia, kami amat menghargai sokongan yang diberikan oleh MIDA dan berharap untuk mengukuhkan kerjasama kami untuk mencapai aspirasi digital terangkum Malaysia.”

En. Arham merumuskan bahawa Kerajaan akan terus mengguna pakai pendekatan bersasar untuk menarik pelaburan. Kerajaan menyedari keperluan untuk membangunkan sektor teknologi tinggi sebagai salah satu strategi untuk mengekalkan momentum ekonomi dan meningkatkan daya saing dan daya tahan ekonomi Malaysia. Untuk memastikan negara berada di landasan yang betul, Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IR) akan mengoptimumkan pembangunan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan ekonomi digital, sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Lestari. Kluster Ekonomi Majlis MED4IR akan ditadbir oleh MITI, dengan MIDA sebagai Ahli Jawatankuasa Aktif dalam inisiatif kerajaan memacu 4IR dan pertumbuhan digital negara.

 


Mengenai MIDA

MIDA ialah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama Kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang bertujuan memantau dan menggalakkan pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia. Berpangkalan di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat serantau dan 20 di luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik kepada perniagaan-perniagaan untuk berhasrat memanfaatkan peluang yang timbul daripada revolusi teknologi era semasa. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti perkembangan MIDA di Twitter, Instagram, Facebook, LinkedIn dan saluran YouTube kami.

Mengenai Microsoft

Microsoft (Nasdaq “MSFT” @microsoft) membolehkan transformasi digital bagi era perkomputeran awan dan pinggiran pintar. Misinya ialah untuk memperkasakan setiap orang dan setiap organisasi di muka bumi untuk mencapai lebih lagi.

[1] Imbasan Info IDC, ditaja oleh Microsoft, The Microsoft Cloud Dividend Snapshot: Malaysia, Doc. #US46918020, Oktober 2020

[2] USD4.6 bilion (Kadar Tukaran Bank Negara: USD 1=RM 4.1405  pada 5 April 2021

 

Tags: