Ketetapan minda mendahulukan awan perlu dipupuk untuk menjadi negara yang mendahulukan digital

 |   Microsoft Malaysia

Bersama MY Panel

Walaupun COVID-19 telah memberi kesan kepada ekonomi di seluruh dunia,  Malaysia tetap berdiri teguh dan bersedia untuk menjadi pemimpin serantau dalam ekonomi digital. Dengan pelancaran MyDIGITAL, Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk bangkit dan merencanakan semula masa depan, disokong oleh kerjasama awam-swasta-rakyat untuk menaik taraf infrastruktur digital dan mengembangkan bakat digital negara.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Malaysia dan Kerajaannya atas usaha bagi mendukung wawasan yang progresif yang digariskan dalam MyDIGITAL. Kami amat gembira untuk melihat rancangan yang disusun rapi dan paling penting, ekonomi digital Malaysia yang begitu terangkum,” kata Andrea Della Mattea, Presiden Asia Pasifik, Microsoft.

Mengenai peneraju penting yang akan membantu memacu kemajuan ekonomi digital Malaysia, beliau menambah, “Masa depan digital Malaysia tidak akan tercapai tanpa modal insan berbakat. Justeru semua pihak perlu memupuk ketetapan minda yang mendahulukan digital dan mendahulukan awan.”

Andrea berkata demikian di perbincangan panel yang diadakan sempena pelancaran Microsoft Bersama Malaysia, bertajuk “Ekonomi yang mendahulukan digital: Malaysia dibuka untuk perniagaan.” Turut serta dalam perbincangan panel tersebut ialah Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MDEC; Tengku Muhammad Taufik, Presiden & CEO Kumpulan PETRONAS; dan Idham Nawawi, CEO Celcom Axiata Berhad.

Usaha meningkatkan kemahiran seharusnya menjadi sebahagian daripada perbincanganBersama MY Panel 2
Ternyata bahawa teknologi awan seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (Internet of Things – IoT) dan pembelajaran mesin menjadi peneraju penting kepada transformasi digital. Bagaimanapun, untuk membolehkan Malaysia benar-benar memanfaatkan kelebihan teknologi awan, perlu ada rancangan untuk memastikan tenaga kerja negara kita mampu mengguna pakai dan mendapat manfaat.

“Transformasi digital bermula dengan memastikan kita mempunyai infrastruktur pelaksanaan, data unik dan awan unik – iaitu teknologi yang membentuk asas bagi pelaksanaannya,” kata Surina. “Tetapi lebih penting lagi, kita juga memerlukan kemahiran digital dan perniagaan digital. Ketersediaan ini akan memastikan kita mampu membuat pelaburan digital secara berterusan ke dalam negara, untuk memastikan pertumbuhan mampan dicapai, dan bukan semata-mata sesuatu yang hanya dilakukan sekali.”

Tengku Taufik, yang turut menyuarakan pandangan yang sama, menekankan bahawa “tema utama” di sebalik usaha meningkatkan kemahiran dan memahirkan semula insan seharusnya menjadi sebahagian daripada perbincangan mana-mana pasukan kepimpinan pada hari ini. “Sama ada anda terlibat dalam bidang tenaga atau peruncitan – kemahiran seharusnya menjadi sebahagian daripada perbincangan anda.” Tengku Taufik berkata bahawa PETRONAS berusaha melengkapkan 80% daripada kakitangan dengan kemahiran analitik, daripada ilmu asas kepada peringkat pertengahan dan pakar, untuk memastikan operasi syarikat boleh dikendalikan sepenuhnya secara digital dalam tempoh terdekat.

Kembali kepada keterangkuman

Memandangkan dunia kini seumpama komputer, teknologi akan memainkan peranan penting untuk membantu setiap insan dan setiap organisasi untuk menyesuaikan diri seiring perkembangan dunia pasca COVID serba baharu ini. Sebab itulah usaha membina infrastruktur digital yang boleh dipercayai penting untuk memangkinkan pertumbuhan terangkum Malaysia.

Contohnya, sebagai sebahagian daripada usaha Celcom untuk membawa keterhubungan Internet lebih luas kepada penduduk tempatan, termasuk kepada masyarakat luar bandar, Idham berkata, “Kami bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi program Jalinan Digital Negara (JENDELA), dengan matlamat membawakan liputan rangkaian 4G kepada 98%-100% daripada penduduk. Sebagai sebahagian daripada Kumpulan Axiata, kami juga membina aplikasi dan infrastruktur lain untuk membolehkan pelaksanaan ekosistem ini. Tambahan lagi, kami juga menyalurkan dana untuk membantu syarikat-syarikat pemula membina aplikasi masing-masing. Tetapi lebih penting lagi, kita perlu kembali kepada keterangkuman.”

Keterangkuman ternyata satu aspek penting dalam usaha untuk membina ekonomi digital yang berkembang maju. Teknologi seharusnya mampu dimanfaatkan oleh semua orang manakala semua orang juga sepatutnya tahu cara menggunakannya – sambil mengamalkan ketetapan minda digital dan budaya inovasi.

“Pada hakikatnya setiap aspek kehidupan harian, kerjaya, ekonomi dan masyarakat telah diubah dengan ketara oleh teknologi. Sebab itulah kita perlu memastikan bahawa setiap insan mempunyai kemahiran dan alat untuk berjaya dalam masa depan digital, awan dan AI. Manusia menjadi tumpuan transformasi digital. Sebagai pemimpin, kita perlu melengkapkan kakitangan dan bakat digital kita dengan kemahiran sewajarnya dan memberi peluang kepada mereka untuk menerajui ekonomi digital Malaysia, dan mempelopori ekonomi inovasi untuk terus melangkah maju,” kata Andrea.

Untuk mengikuti perbincangan panel penuh, tekan “play” pada video ini.

YouTube Video

Tags: