Ignite 2024: Mengapa hampir 70% syarikat Fortune 500 kini menggunakan Microsoft 365 Copilot

 |   Frank X. Shaw - Chief Communications Officer, Microsoft

Microsoft Ignite - hero image

Ada dua perkembangan penting yang berlaku secara serentak.  

Apabila berbicara tentang Kecerdasan Buatan (AI), memang benar bahawa industri ini sedang bergerak pantas dan berkembang pesat. Dalam pada itu, beratus ribu pelanggan sudah pun menggunakan teknologi AI Microsoft hari ini. Menerusi pelaburan awal dalam platform ini, kita sudah dapat melihat manfaat besar yang dibawa dan memastikan pelanggan boleh mengambil kesempatan daripada gelombang besar dan penambahbaikan selanjutnya dalam dunia AI.  

Microsoft Ignite merupakan acara tahunan kami yang memaparkan perkembangan terkini dan ciptaan canggih yang membolehkan pelanggan, rakan kerjasama dan pencipta memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi Microsoft dan mengubah pendekatan kita terhadap kerja.  

Kami bakal mengumumkan kira-kira 80 produk dan ciri baharu tahun ini, termasuk keupayaan baharu dalam Microsoft 365 Copilot, penambahbaikan tindanan Copilot + AI dan tawaran peranti Copilot+ baharu. Komitmen kami kepada keselamatan menjadi tunggak segala inovasi.  Sejak pelancaran Secure Future Initiative (SFI) setahun lepas, kami telah menjadikan aspek keselamatan keutamaan No.1 bagi setiap kakitangan di Microsoft, dengan menyediakan 34,000 jurutera untuk mencapai matlamat ini. Di Ignite, kami bakal mengumumkan inovasi berlandaskan prinsip SFI kami, iaitu keselamatan berasaskan reka bentuk, keselamatan tersedia dan keselamatan operasi.    

Lebih daripada 200,000 orang telah mendaftar untuk mengambil bahagian dalam Ignite tahun ini, dengan kehadiran fizikal lebih 14,000 peserta di Chicago. Hadirin boleh memilih untuk menyertai lebih daripada 800 sesi, demonstrasi dan makmal pimpinan pakar dari Microsoft dan rakan-rakan kerjasama kami. Sebahagian besar kandungan di acara Ignite juga boleh didapati atas permintaan.  

Momentum Copilot 

Microsoft 365 Copilot ialah pembantu AI anda untuk menyempurnakan kerja, dan kami telah melihat momentum penggunaan semakin kukuh memandangkan lebih banyak organisasi telah berjaya beralih kepada Copilot. Secara keseluruhan, hampir 70% daripada syarikat-syarikat Fortune 500 kini menggunakan Microsoft 365 Copilot. 

Angka ini sememangnya sejajar dengan trend industri: Satu kajian IDC baru-baru ini menunjukkan bahawa penggunaan AI generatif semakin ketara, dengan tahap penggunaan 75% dalam kalangan syarikat yang ditinjau selidik pada 2024. Di samping itu, bagi setiap $1 yang dilaburkan, syarikat dapat menjana pulangan $3.70. Malah menurut kajian tersebut, para pemimpin perniagaan berkata mereka meraih pulangan sehingga $10. 

Pelaburan yang dibuat oleh Microsoft dalam Copilot kini membuahkan hasil bagi para pelanggan kami.  

Baru-baru ini, kami mengetengahkan lebih daripada 200 kisah kejayaan pelanggan mempercepatkan transformasi AI menggunakan Copilot, yang membantu mereka mempelopori inovasi dan menambah baik organisasi masing-masing. Antaranya termasuk:  

  • Syarikat pengurusan kuasa Eaton, yang menggunakan Microsoft 365 Copilot untuk menyelaraskan dan mengautomasikan operasi, meningkatkan akses kepada data, memusatkan ilmu pengetahuan dan memperkasakan pekerja untuk memberi tumpuan pada tugasan bernilai lebih tinggi. Copilot membantu operasi kewangan Eaton mencatatkan lebih 9,000 prosedur operasi piawai (SOP), 83% masa bagi setiap SOP yang dicatatkan. 
  • Firma perunding McKinsey & Company sedang mencipta agen untuk mempercepatkan proses suai tugas pelanggan. Program perintis yang dilaksanakan mendapati masa pelaksanaan boleh dikurangkan sebanyak 90% dan kerja pentadbiran dikurangkan sebanyak 30%. Agen tersebut akan mengautomasikan proses rumit, seperti mengenal pasti keupayaan pakar dan memilih kakitangan yang sesuai untuk menganggotai pasukan dan bertindak sebagai titik tumpuan rakan-rakan sekerja bertanyakan soalan dan meminta tindakan susulan. Dengan menyelaraskan tugasan dan mengurangkan input manual, agen ini berpotensi menjimatkan masa bagi perunding, membolehkan mereka meluangkan lebih banyak masa bersama pelanggan.  

Meningkatkan produktiviti dengan Microsoft 365 Copilot  

Microsoft terus berusaha memacu produktiviti dengan menyediakan keupayaan baharu dalam Microsoft 365 Copilot yang direka cipta untuk memudahkan kerja seharian.  

Copilot Actions, kini dalam fasa pratinjau peribadi, membolehkan sesiapa sahaja untuk mengautomasikan tugasan setiap hari dengan prompt isi tempat kosong yang mudah, sama ada dengan mendapatkan ringkasan harian bagi tindakan mesyuarat di Microsoft Teams, mengumpulkan laporan mingguan atau menerima e-mel sejurus selepas pulang daripada cuti yang menyediakan ringkasan mesyuarat yang tidak dihadiri, serta mesej perbualan dan e-mel yang belum dibaca.  

Sesiapa sahaja boleh menetapkan Actions dengan mudah dalam aplikasi Microsoft 365, membolehkan pengguna memberi tumpuan terhadap kerja yang lebih bermakna, sambil menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti. 

Agen-agen baharu dalam Microsoft 365 direka cipta untuk membantu meningkatkan impak individu dan mencetus transformasi dalam proses perniagaan. Di Ignite, kami akan memperkenalkan:  

  • Agen dalam SharePoint: Pembantu AI bahasa semula jadi ini menggunakan laman, fail dan folder Sharepoint yang relevan untuk memudahkan pengguna mencari jawapan daripada kandungan yang dimuatkan di dalamnya, dan membuat keputusan lebih pantas. Kini boleh didapati secara umum, setiap tapak SharePoint akan menyediakan agen yang disesuaikan mengikut kandungannya. Pengguna juga boleh menggunakan agen tersesuai yang bertugas memilih fail, folder atau laman SharePoint dengan hanya satu klik.  
  • Khidmat Alih Bahasa: Agen di dalam Teams membantu pengguna mengatasi sempadan bahasa untuk menyediakan khidmat alih bahasa masa sebenar bagi pertuturan dalam mesyuarat. Boleh didapati dalam bentuk pratinjau awam pada awal 2025, peserta mesyuarat juga mempunyai pilihan untuk meminta agen menghasilkan semula suara peribadi mereka 
  • Agen Layan Diri Kakitangan: Agen ini, tersedia dalam pratinjau peribadi melalui Business Chat yang mempercepatkan pencarian jawapan bagi soalan dasar umum. Ia juga memudahkan tugasan berkaitan HR dan IT, seperti membantu pekerja memahami manfaat mereka atau membuat permohonan untuk komputer riba baharu dengan lebih cepat dan efisien.  Hal ini boleh disesuaikan dalam Copilot Studio untuk memenuhi keperluan unik organisasi.  
  • Agen-agen lain dalam pratinjau awam boleh mencatatkan nota mesyuarat dalam Teams dan mengautomasikan proses pengurusan projek dari mula hingga akhir dalam Planner.  

Tindanan Copilot + AI  

Tindanan Copilot memperkasakan pengguna untuk membina produk lebih hebat dengan memanfaatkan teknologi canggih pada setiap lapis tindanan. Untuk menghasilkan pengalaman bersepadu yang membolehkan pelanggan mereka bentuk, menyesuaikan dan menguruskan aplikasi dan agen AI, kami memperkenalkan Azure AI Foundry, yang memberikan akses kepada pelanggan bagi semua perkhidmatan Azure AI sedia ada, serta keupayaan baharu seperti:  

  • Azure AI Foundry SDK, yang kini boleh didapati secara pratinjau, menyediakan rangkaian alat bersepadu untuk mereka bentuk, menyesuaikan dan menguruskan aplikasi AI dan agen dengan penyesuaian dan kawalan gred AI. Menggunakan alat yang membantu organisasi meluaskan penggunaan aplikasi mereka secara bertanggungjawab, Foundry juga menyediakan 25 aplikasi pencontoh yang sedia terbina dan pengalaman pengaturcaraan kod dipermudah yang boleh diakses menerusi alat-alat biasa seperti GitHub, Visual Studio dan Copilot Studio. 
  • Portal Azure AI Foundry (dahulunya Azure AI Studio), yang kini boleh didapati secara pratinjau, ialah antara muka pengguna visual menyeluruh untuk membantu pencipta meneroka model, perkhidmatan dan peralatan AI. Dengan pengalaman pusat pengurusan baharu yang memuatkan maklumat langganan penting dalam satu paparan tunggal, program ini juga membantu pentadbir IT, serta pasukan operasi dan pematuhan menguruskan aplikasi AI berskala besar.  
  • Perkhidmatan Agen Azure AI, yang akan disediakan tidak lama lagi dalam pratinjau, akan membolehkan pencipta profesional untuk merancang, menggunakan dan meluaskan penggunaan agen-agen yang sedia diguna pakai oleh perusahaan bagi mengautomasikan proses perniagaan.  

Kami juga terus menyokong komitmen AI Boleh Dipercayai kami dengan menyediakan peralatan baharu.  Pada hari ini, kami mengumumkan laporan AI dan penilaian risiko dan keselamatan untuk imej bagi membantu organisasi memastikan aplikasi AI adalah patuh dan selamat. Laporan AI akan membantu organisasi meningkatkan keupayaan pemerhatian, kerjasama dan tadbir urus bagi aplikasi AI dan memperhalusi model, manakala penilaian bagi kandungan imej akan membantu pelanggan menilai kekerapan dan tahap ancaman kandungan berbahaya dalam output aplikasi yang dijana AI.  

Peranti Copilot+  

Memandangkan organisasi kini memindahkan lebih banyak beban kerja ke awan untuk meningkatkan keselamatan dan fleksibiliti, Microsoft meluaskan penyelesaian Cloud PC dengan memperkenalkan kemudahan pertama dalam kelas peranti baharu yang dibina khas untuk dihubungkan secara selamat dengan Windows 365 dalam masa beberapa saat. 

Windows 365 Link ialah peranti yang ringkas dan terlindung yang dibina khas bagi Windows 365. Alat ini sedang dalam proses pratinjau dan dibuka untuk pembelian umum mulai April 2025 di pasaran tertentu pada MSRP $349, membolehkan pengguna bekerja dengan selamat dalam desktop Windows yang biasa digunakan di Microsoft Cloud dengan pengalaman  yang responsif dan jitu.  

Windows 365 Link menjamin keselamatan berasaskan reka bentuk. Peranti ini tiada data setempat, tiada aplikasi setempat dan mempunyai pengguna tanpa admin supaya data korporat kekal terlindung di dalam Microsoft Cloud.  

Keupayaan baharu lain bagi Copilot+ PCs untuk pelanggan komersial termasuk memanfaatkan kuasa unit pemprosesan jati sedia terbina (NPUs) untuk menyediakan AI setempat. Dengan penambahbaikan Windows Search, dan pengalaman Recall terbaharu (pratinjau), adalah lebih mudah untuk mencari apa yang anda perlukan dalam PC anda dengan menghuraikan apa yang anda cari. Ciri-ciri ini akan diperkenalkan buat kali pertama dalam komuniti Windows Insider kami di Copilot+ PC sebelum dilancarkan secara lebih luas kepada pelanggan kami.

Momentum BlackRock  

Empat tahun lalu, BlackRock, salah satu firma pengurusan aset terkemuka di dunia, membentuk perikatan strategik dengan Microsoft untuk memindahkan platform Aladdin ke Microsoft Azure. Berasaskan asas kukuh di Azure ini, BlackRock melancarkan alat AI generatif untuk pelanggan global melalui Aladdin Copilot. Menerusi AI generatif, Aladdin Copilot berfungsi untuk memperkukuhkan sambungan di seluruh platform, menggunakan teknologi Microsoft bagi membantu pengguna menerima jawapan serta-merta, membuka kecekapan baharu dan menemui wawasan perniagaan penting dengan lebih pantas. Aladdin Copilot menjadikan platform Aladdin BlackRock lebih pintar dan responsif. Ini meningkatkan produktiviti, membolehkan skala operasi lebih luas, dan memastikan pengguna sentiasa lebih bermaklumat. 

Langkah BlackRock ke Azure dan pelancaran Aladdin Copilot hanyalah dua daripada pelbagai pencapaian dalam perkongsian jangka panjang yang juga merangkumi perjanjian menyeluruh untuk 24,000 tempat duduk Microsoft 365 Copilot. Hari ini, kira-kira 60% daripada populasi pengguna Copilot di BlackRock menggunakan Copilot setiap minggu. Tambahan pula, BlackRock baru-baru ini memutuskan untuk memindahkan penyelesaian CRM berasaskan premis mereka ke awan menggunakan Dynamics 365, dengan integrasi natif bersama Teams dan Outlook menjadi salah satu faktor utama keputusan ini.

Keselamatan kukuh  

Kami sedar bahawa ancaman sentiasa berubah pantas dan kita perlu terus berada selangkah di hadapan pihak yang berniat jahat. Di Microsoft kami percaya bahawa keselamatan perlu dikendalikan sebagai satu pasukan, dan kita lebih kuat apabila kita berganding bahu sebagai satu komuniti keselamatan untuk berkongsi maklumat, bekerjasama dan menghalang pihak yang berniat jahat.

Berbekalkan semangat ini, dan sebagai sebahagian daripada Inisiatif Masa Depan Terjamin (SFI), kami mengumumkan acara penyelidikan keselamatan awam terbesar dalam sejarah: Pencarian Hari Sifar. Acara bertumpukan AI dan keselamatan awan, ini akan menawarkan ganjaran terbesar dalam industri yang bernilai $4 juta, di samping program ganjaran tahunan bernilai $16 juta kami yang sedia ada. Pertandingan ini bertujuan menarik bakat-bakat keselamatan terbaik dunia untuk menangani senario kritikal berimpak tinggi yang amat penting kepada keselamatan pelanggan kami, dengan memberikan ganjaran berganda mulai hari  ini.

Memandangkan persekitaran ancaman telah berubah, kami melihat perubahan pantas dari segi cara penyerang mengeksploitasi kelemahan dalam sistem khususnya dengan merungkai hubungan graf antara identiti, fail dan peranti, bagi meneroka laluan serangan. Penyerang yang merancang secara  graf boleh menimbulkan kerosakan lebih luas dari titik pencerobohan pertama.  Produk keselamatan lazim, dengan tahap keterlihatan terhad terhadap hubungan graf, lebih sesuai untuk melindungi peranti atau perantara khusus seperti komputer riba atau peti masuk dan bukannya potensi serangan yang lebih bersifat menyeluruh.

Pelancaran Microsoft Security Exposure Management pada hari ini menandakan langkah penting dalam usaha melaksanakan transformasi keselamatan siber dengan data dan strategi pintar berasaskan AI.  Keupayaan menggabungkan data graf Microsoft dengan data daripada alat keselamatan pihak ketiga lain milik pelanggan mewujudkan panel tunggal untuk membayangkan laluan serangan sebelum serangan tersebut dilaksanakan oleh mereka yang berniat jahat. Berbekalkan kuasa komputer dan prestasi skala awan untuk menyediakan peta aset dan risiko yang kian berubah dalam masa sebenar, Exposure Management membantu pasukan keselamatan mencegah pencerobohan dan memberikan data masa sebenar kepada para pemimpin  risiko, operasi dan IT untuk membantu mereka membuat keputusan tentang risiko siber.

Ini hanyalah antara sebahagian kecil daripada pelbagai ciri-ciri menarik dan terkini yang akan kami umumkan di Ignite. Anda boleh menonton sesi ucaptama eksekutif Microsoft termasuk Satya Nadella, Rajesh Jha, Scott Guthrie, Charlie Bell dan Vasu Jakkal, secara langsung atau atas permintaan.

Di samping itu, anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang semua pengumuman tersebut dengan melayari Book of News, intisari rasmi semua berita hari ini dan blog produk di bawah.