Daripada perintis kepada impak: transformasi berpacukan AI masuki fasa seterusnya di Malaysia

Read this in English

Pada Microsoft AI Leadership Summit di Kuala Lumpur, para pemimpin dari sektor awam dan swasta di Malaysia meninjau dan meneroka usaha organisasi beralih daripada percubaan AI kepada transformasi berskala di peringkat perusahaan untuk menghasilkan impak bermakna kepada perniagaan, iaitu peralihan yang dikenali sebagai Frontier Transformation.

Organisasi kini mula menggunakan AI dalam aliran kerja teras untuk mengautomasikan pelaksanaan rutin, menyokong proses pembuatan keputusan yang rumit, dan seterusnya membolehkan kakitangan memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai lebih tinggi seperti menetapkan sasaran, mentakrifkan piawaian dan menilai keputusan.

YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), yang menyampaikan ucaptama berkata, “Persoalan yang kita hadapi bukan lagi sama ada AI akan merombak ekonomi kita, kerana transformasi ini memang sudah pun bermula. Persoalan yang lebih besar adalah bagaimana transformasi tersebut akan membentuk Malaysia, dan pilihan kita untuk memimpin dalam ekonomi AI ini.  Untuk menjadi negara yang benar-benar berpacukan AI, apa yang diperlukan bukannya penggunaan teknologi semata-mata. Kita perlu memupuk masyarakat yang boleh menggunakan AI dengan yakin, institusi yang mentadbir dan melaksanakannya dengan bertanggungjawab berskala, dan ekosistem yang memanfaatkan inovasi untuk membawa impak bermakna kepada rakyat.”

Memacu inovasi AI: Beralih daripada percubaan kepada pelaksanaan

Di Sidang Kemuncak ini, Microsoft memaparkan usaha dan kerjasamanya dengan organisasi di Malaysia dalam proses transformasi awan dan AI masing-masing:

  • DKSH menunjukkan keupayaan AI untuk mempermudah kerumitan bagi perusahaan yang besar dan tersebar. Mengguna pakai teknologi Azure AI Microsoft dan Microsoft Copilot, DKSH menerapkan AI ke dalam aliran kerja pemprosesan pesanan teras untuk meningkatkan kepantasan, ketepatan dan kualiti keputusan merentasi pelbagai pasaran. Hasilnya ialah model operasi yang lebih mudah diskalakan dan berdaya tahan yang membolehkan pasukan-pasukannya memberi tumpuan kepada keputusan bernilai lebih tinggi dan bukannya pelaksanaan rutin.
  • Johor Corporation (JCorp) mengukuhkan kesepaduan operasi merentasi portfolionya yang pelbagai dengan membina teras digital yang disatukan untuk menyokong tahap keterhubungan, tadbir urus dan pembuatan keputusan yang lebih baik di seluruh Kumpulan. Dengan mewujudkan satu sumber yang sahih merentasi perniagaannya, JCorp sedang mengurangkan jurang antara jabatan bagi membolehkan para pemimpin membuat keputusan yang lebih pantas dan berpandukan data, sambil mengekalkan tadbir urus serta keselamatan yang kukuh.. Sebagai sebahagian daripada agenda AI-First yang lebih menyeluruh, JCorp sedang mengintegrasikan aliran kerja berteraskan kecerdasan buatan (AI) ke dalam operasi harian bagi meningkatkan produktiviti, kebolehskalaan serta penggunaan teknologi secara bertanggungjawab di seluruh ekosistemnya, dengan sokongan kerjasama strategik bersama Microsoft.
  • Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sedang menerajui transformasi struktur pentadbiran cukai Malaysia menerusi pelaksanaan platform e-invois kebangsaan, MyInvois, yang dilancarkan pada 1 Ogos 2024. Usaha ini merupakan satu peralihan besar daripada pelaporan digital berkala kepada pelaporan masa nyata. Dilaksanakan menerusi infrastruktur awan dan analisis berpandukan pembelajaran mesin, MyInvois meningkatkan keupayaan LHDNM untuk memproses data secara berskala dan mengesan anomali, menyediakan khidmat pentadbiran cukai yang lebih pantas dan tepat sambil menyokong proses membuat keputusan yang termaklum dan berpandukan data di peringkat kebangsaan.
  • PETRONAS bekerjasama dengan Microsoft untuk memajukan platform AI dan analitik untuk menyokong transformasi digital merentasi seluruh perniagaan. Ini termasuk meneroka teknologi seperti awan, analitik canggih dan keupayaan AI baru muncul untuk memperkasakan proses membuat keputusan dan kecekapan operasi.

Mendorong penggunaan AI dengan mastautin data dalam negara di Malaysia

Apabila organisasi beralih daripada percubaan kepada pelaksanaan, keupayaan untuk menskalakan AI secara terlindung dan bertanggungjawab menjadi semakin penting.

Setahun sejak pelancaran rantau awan Malaysia Barat, Microsoft telah menyediakan lebih daripada 190 perkhidmatan secara umum kepada pelanggan komersial di Malaysia, menyokong bebanan kerja berpandukan awan dan AI dengan tahap kependaman lebih rendah, kemudahan mastautin data dalam negara dan keupayaan tadbir urus yang lebih tinggi.

Memandangkan kemudahan mastautin data kini disediakan di rantau awan Malaysia Barat, Microsoft membolehkan organisasi  mempelopori inovasi menggunakan AI sambil mengekalkan tahap kawalan data mereka yang lebih baik. Menerusi kemudahan tambahan Microsoft 365 Advanced Data Residency (ADR), organisasi kini boleh menyimpan data produktiviti dan kerjasama masing-masing, termasuk Microsoft 365 dan Microsoft 365 Copilot, di Malaysia.

Bagi organisasi yang beroperasi merentasi sempadan, keupayaan Microsoft 365 Multi-Geo membolehkan mereka menguruskan lokasi data merentasi berbilang pasaran sambil mengekalkan model operasi terhubung dan disatukan, lantas menyelaraskan tadbir urus dan meningkatkan pematuhan. Secara tergabung, segala keupayaan ini menyediakan tahap fleksibiliti dan kawalan yang diperlukan oleh organisasi di Malaysia untuk mempercepatkan penggunaan AI secara terlindung, sambil memenuhi keperluan data tempatan dan serantau.

Memperluas penguasaan kemahiran di seluruh negara demi mengukuhkan kesediaan AI Malaysia

Sambil organisasi menyesuaikan diri dengan cara kerja berlandaskan AI, kekuatan tenaga kerja masa depan Malaysia akan bergantung pada pembangunan kemahiran lebih awal, secara konsisten dan mencerminkan keperluan dunia sebenar.

Untuk menyokong usaha ini, Microsoft dan Kementerian Digital Malaysia telah melancarkan Microsoft Elevate, inisiatif membina kapasiti AI negara yang lebih luas sejajar dengan usaha mencapai cita-cita Negara AI 2030 Malaysia. Dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Sekretariat Majlis TVET Kebangsaan, Inisiatif Biji-biji & Mereka, inisiatif tersebut meluaskan skop agenda kemahiran AI Malaysia untuk merangkumi golongan pendidik, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pesara angkatan tentera lelaki dan wanita, institusi pengajian, dan penjawat awam.

Microsoft Elevate menetapkan sasaran untuk mengikuti pelan berfasa sehingga 2030 yang melibatkan penguasaan kemahiran dan pengaktifan tenaga kerja, menerusi pendalaman sektor serta penginstitusian dan kemampanan jangka panjang. Sebagai sebahagian daripada fasa perintis yang dilancarkan awal tahun ini, Microsoft Elevate telah mencapai 80,000 peserta, menyokong perjalanan Malaysia ke arah penggunaan AI yang lebih terangkum dan bertanggungjawab.

Laurence Si, Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia, berkata, “Dalam usaha Malaysia mencapai cita-citanya untuk menjadi peneraju digital serantau, tumpuan kini beralih daripada penggunaan alat AI kepada pembangunan institusi dan perusahaan yang bersedia untuk AI. Dengan menggabungkan infrastruktur dalam negara yang boleh dipercayai dengan inovasi AI yang bertanggungjawab, Malaysia mampu menggiatkan pertumbuhan syarikat berteraskan Frontier Firm yang menjadi pemacu daya saing ekonomi dalam jangka panjang. Microsoft kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan  kerajaan, industri serta rakan ekosistem dalam memperluas penggunaan AI yang boleh dipercayai, membina bakat dan keupayaan digital, serta memperkasakan organisasi untuk berkembang maju dalam ekonomi AI.”

Setahun selepas pelancaran rantau awan Malaysia West, momentum yang ditunjukkan oleh agensi kerajaan dan perusahaan mencerminkan fasa kematangan dalam penggunaan AI di Malaysia. Laporan AI Diffusion terkini Microsoft  menunjukkan penggunaan AI di negara ini meningkat kepada 21.8% pada Suku Pertama 2026 (berbanding 19.7% pada Separuh Kedua 2025). Sambil organisasi mula meluaskan penggunaan AI secara lebih menyeluruh dalam operasi, penyediaan kemudahan awan dalam negara yang boleh dipercayai terus memainkan peranan sokongan—memberikan tahap keselamatan, tadbir urus dan keyakinan yang diperlukan untuk mempelopori inovasi secara bertanggungjawab dan meneruskan impak dalam jangka panjang.

English (United States)
Your Privacy Choices Opt-Out Icon Your Privacy Choices
Consumer Health Privacy Sitemap Contact Microsoft Privacy Manage cookies Terms of use Trademarks Safety & eco Recycling About our ads