Dari kiri, Rashvin Pal Singh, Rashvin Pal Singh, CEO Kumpulan, Biji‑Biji Initiative & Mereka; YBhg Datuk Fabian Bigar, Ketua Setiausaha Kementerian Digital; Gobind Singh Deo, Menteri Digital; Dr Jasmine Begum, Pengurus Besar, Pengurus Besar, Hal Ehwal Undang-Undang & Kerajaan, Microsoft ASEAN; dan Sam Majid, CEO, Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), pada pelancaran Microsoft Elevate di Malaysia.
Read this in English and Mandarin
Kuala Lumpur, 24 April 2026 – Kementerian Digital Malaysia dan Microsoft hari ini mengumumkan pelancaran Microsoft Elevate, inisiatif membina kapasiti kecerdasan buatan (AI) negara yang diperluas dengan matlamat mengukuhkan tahap kesediaan AI Malaysia, sejajar dengan cita-cita untuk menjadi Negara AI 2030.
Kerjasama ini, yang dirasmikan oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, meluaskan skop agenda kemahiran Malaysia untuk merangkumi golongan pendidik, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pesara angkatan tentera, institusi pendidikan dan penjawat awam. Dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Sekretariat Majlis TVET Negara serta Biji-Biji Initiative & Mereka, usaha ini mencerminkan komitmen seluruh negara untuk memastikan setiap segmen masyarakat Malaysia bersedia untuk era AI.
Microsoft Elevate bertujuan mengembangkan peluang peningkatan kemahiran atau ‘upskilling’ di Malaysia dengan pelan berfasa sehingga 2030 yang bermula daripada pengaktifan kemahiran dan tenaga kerja, ke arah pendalaman sektor serta penginstitusian dan kemampanan jangka panjang. Sebagai sebahagian daripada fasa perintis yang dilancarkan pada bulan Januari tahun ini, Microsoft Elevate telah berjaya memperkasakan 80,000 peserta setakat ini.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen jangka panjang Microsoft terhadap pembangunan digital dan AI Malaysia, termasuk usaha melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran AI menerusi inisiatif AIForMYFuture, serta inisiatif Bersama Malaysia, yang telah memperkasakan 1.53 juta rakyat dengan kemahiran awan, AI dan keselamatan siber.

YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital Malaysia berkata, “Sejajar dengan usaha Malaysia untuk menjadi hab AI serantau, pembangunan keupayaan digital yang merangkumi semua lapisan masyarakat adalah amat penting. Untuk memastikan kemajuan yang bermakna di peringkat nasional, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta perlu diperkukuh. Justeru, kami mengalu-alukan Microsoft Elevate, inisiatif yang disokong oleh NAIO dan Sekretariat Majlis TVET Negara serta dilaksanakan oleh Biji-Biji Initiative dan Mereka dalam memperkukuh kesediaan AI dan keterangkuman digital agar rakyat Malaysia bersedia menghadapi masa depan yang berteraskan AI.”
Pendekatan seluruh negara untuk mencapai kesediaan AI
Ketika organisasi menyesuaikan diri dengan cara kerja berasaskan AI, kekuatan tenaga kerja masa depan Malaysia bergantung pada pembangunan kemahiran yang bermula awal, dilaksanakan secara berterusan, dan selari dengan keperluan dunia sebenar.
Visi Negara AI 2030 mengiktiraf bahawa usaha menjadi sebuah negara berlandaskan AI memerlukan bukan sahaja penggunaan teknologi – tetapi juga insan yang memahami dan menggunakan AI dengan yakin, institusi yang boleh mengguna pakai AI secara bertanggungjawab dan berskala, dan ekosistem yang memanfaatkan keupayaan AI untuk mencetus impak dunia sebenar. Usaha ini memerlukan pendekatan yang menyelaras untuk menghubungkan pelbagai kementerian, agensi dan rakan ekosistem untuk mencapai segmen-segmen utama masyarakat Malaysia:
- Golongan pendidik dan institusi pengajian: Tenaga pengajar di peringkat prasekolah hingga menengah, TVET, politeknik, kolej komuniti dan universiti menimba kemahiran AI praktikal berasaskan peranan masing-masing untuk menerapkan AI ke dalam proses pengajaran, reka bentuk kurikulum dan keterlibatan pelajar – lantas melengkapkan mereka untuk membimbing generasi depan rakyat Malaysia yang mahir dan sedia menggunakan AI.
- Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS): Sektor PMKS Malaysia, yang menjadi tunggak ekonomi negara, akan menerima latihan pengenalan dan produktiviti AI bersasar untuk mengguna pakai alatan dan platform AI bagi operasi perniagaan, keterlibatan pelanggan dan meningkatkan daya saing.
- Pesara angkatan tentera: Golongan veteran yang beralih peranan sebagai anggota awam atau tokoh masyarakat akan mempelajari kemahiran asas AI, bagi memastikan mereka dapat memainkan peranan aktif dalam pembangunan sosioekonomi Malaysia.
- Pemimpin dan pengurusan institusi: Pengetua sekolah dan institusi TVET serta agensi kerajaan dan pertubuhan kemasyarakatan akan dilatih untuk menerajui penggunaan AI dalam institusi masing-masing – dengan menetapkan dasar, menentukan norma, dan menggalakkan pelaksanaan bertanggungjawab dari peringkat atas hingga ke bawah.
- Pelajar dan belia: Anak-anak muda Malaysia yang menuntut di sekolah, politeknik, kolej komuniti, dan institusi TVET menimba kemahiran asasi dan amali yang sesuai dengan keperluan dunia sebenar, lantas membina sumber bakat bagi ekonomi berpandukan AI Malaysia.

Rashvin Pal Singh, CEO Kumpulan, Biji‑Biji Initiative & Mereka, menambah, “Bagi memastikan AI benar-benar mencetus impak, keupayaan ini harus diterapkan dalam bilik darjah dan komuniti dengan cara yang praktikal dan mudah dicapai. Menerusi Microsoft Elevate, kami bekerjasama rapat dengan NAIO, Sekretariat Majlis TVET Negara, dan Microsoft untuk menzahirkan konsep AI dalam amalan harian, dengan cara yang bertanggungjawab, terangkum dan relevan dengan keperluan praktikal. Inisiatif ini merupakan satu langkah penting bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam usaha Malaysia membina masa depan yang bersedia untuk AI.”

Dr. Jasmine Begum, Pengurus Besar, Hal Ehwal Undang-Undang & Kerajaan, Microsoft ASEAN, berkata, “AI hanya boleh menghasilkan nilai sebenar apabila insan dari segenap lapisan masyarakat memahami cara menggunakannya secara bermakna dan bertanggungjawab dalam urusan harian dan juga proses membuat keputusan mereka. Teknologi merupakan pencetus, manakala impaknya diperolehi daripada cara individu, organisasi dan institusi menggunakan AI dengan cara yang praktikal, dipercayai dan sesuai dengan keperluan dunia sebenar.
“Microsoft Elevate dirangka untuk membina keupayaan mengikut skala; menyokong komuniti, perusahaan dan institusi sektor awam untuk mengguna pakai AI dengan penuh yakin dan bertanggungjawab. Menerusi program ini, kami berusaha memastikan cita-cita AI Malaysia tercapai dengan mencetus impak jangka panjang, membolehkan lebih ramai individu mendapatkan kemahiran, akses dan sokongan yang mereka perlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi AI.”
Microsoft Elevate ialah inisiatif global oleh Microsoft yang bertujuan memperkasa komuniti dengan menyediakan kemahiran, pengetahuan dan alat berkaitan AI kepada individu dan organisasi. Inisiatif ini sedang dilaksanakan di beberapa negara di seluruh Asia Tenggara dengan tujuan menyokong usaha kerajaan serta institusi dalam mempersiapkan masyarakat menghadapi ekonomi yang dipacu oleh AI.
Untuk maklumat lanjut dan mendaftar untuk Microsoft Elevate di Malaysia, sila layari: https://microsoftelevate.biji-biji.com/