Microsoft perluas rantau awan di Johor Bahru, perkasakan transformasi AI Asia Tenggara  

(Foto di atas) Judson Althoff, Ketua Pegawai Eksekutif Organisasi Komersial Microsoft, di Microsoft AI Tour Kuala Lumpur pada 4 November 2025 di Kuala Lumpur, Malaysia.

Read this in English and Mandarin

Kuala Lumpur, 4 November 2025 – Microsoft telah mengumumkan perkembangan terkini tentang rantau awannya yang dikenali sebagai Southeast Asia 3 atau Asia Tenggara 3, yang akan mula beroperasi di Johor Bahru, Malaysia.  Pelaburan strategik ini bertujuan menggiatkan transformasi kecerdasan buatan (AI) di serata Asia Tenggara, untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah bagi perkhidmatan awan yang diyakini dan memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang, sambil mengukuhkan kepimpinan serantau Malaysia dalam ekonomi digital.

Apabila rantau awan generasi hadapan ini mula beroperasi, Microsoft bakal menyediakan perkhidmatan awan paling komprehensif dan strategik, yang dibina khusus untuk menyokong bebanan kerja yang meningkat dan keperluan pelanggan yang kian berubah di seluruh rantau ini.

YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital Malaysia, berkata, “Pencapaian ini menegaskan kemajuan berterusan Malaysia dalam ekonomi digital. Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan industri dan Microsoft sebagai rakan teknologi yang diyakini untuk membina kepimpinan Malaysia sebagai lokasi yang terjamin selamat dan boleh dipercayai bagi aset digital untuk organisasi di seluruh rantau.”

Judson Althoff, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perniagaan Komersial Microsoft, berkata di acara AI Tour di Kuala Lumpur, “Asia Tenggara merupakan salah satu daripada rantau paling dinamik di dunia. Pelaburan yang diperluaskan ini mencerminkan komitmen Microsoft untuk membantu kerajaan, perniagaan dan komuniti berinovasi secara bertanggungjawab, membina dengan keyakinan, dan mempercepatkan perjalanan Transformasi AI menjadi pemangkin kepada usaha organisasi untuk muncul sebagai Frontier Firm.”

Rantau Asia Tenggara 3 akan menjadi tambahan terbaharu kepada lebih daripada 70 rantau global Microsoft Azure. Pada awal tahun ini, Microsoft telah mengumumkan ketersediaan umum rantau awan Malaysia Barat baharunya di  Kuala Lumpur Raya, memperkasa dan mempercepatkan lagi transformasi AI untuk setiap organisasi di Malaysia. Microsoft Cloud terbukti menyumbang kepada manfaat ekonomi dan sosial di Malaysia, selain menjadi pemangkin kepada inovasi sebenar di negara ini

Membina secara bertanggungjawab demi komuniti dan kelestarian

Microsoft komited untuk membina dan mengendalikan pusat data secara bertanggungjawab, mencipta manfaat yang bermakna bagi komuniti tempatan. Berpandukan Ikrar Komuniti Pusat Data, inisiatif yang dilaksanakan di Johor Bahru termasuk:

  • Program Asasi Pusat Data Skills2Work (Program): Microsoft, dengan kerjasama The Asia Foundation dan Universiti Teknologi Malaysia (Johor Bahru), telah merangka program ini untuk meningkatkan keupayaan mendapat kerja dan memperkenalkan peluang kerjaya dalam industri pusat data kepada peserta. Selama 12 bulan, program akan melengkapkan 150 siswazah baharu dengan latihan amali, pendedahan industri, dan sokongan persiapan untuk bekerja – membina saluran bakat-bakat mahir untuk menyokong infrastruktur digital Malaysia yang kian berkembang.
  • Keusahawanan sosial: Menerusi kerjasama dengan UNDP Malaysia dan BPEN Johor, Microsoft akan melatih 200 jurulatih daripada 20 perusahaan sosial dan memperkasakan kira-kira 10,000 anggota masyarakat dengan kemahiran, rangkaian dan sokongan yang diperlukan untuk meningkatkan impak sosioekonomi masing-masing.
  • Tenaga boleh diperbaharui: Rantau awan Asia Tenggara 3 yang akan datang bakal dilengkapi penjana kuasa sokongan yang dipacu biobahan api boleh diperbaharui untuk mengurangkan emisi karbon bersih, sambil menyokong matlamat kelestarian Malaysia.
  • Pendinginan cekap guna air: Rantauawan akan datang dibina khusus untuk mencapai penyejatan air sifar untuk pendinginan dengan mengguna pakai penyelesaian pendinginan peringkat cip menerusi gelung tertutup. Pendekatan ini akan terus mengitarkan air antara pelayan dan pendingin, menepikan keperluan bagi bekalan air baharu yang berterusan. Hasilnya, penggunaan air berterusan akan dikurangkan dengan ketara, lantas menyokong Keberkesanan Penggunaan Air ultra rendah (WUE).
  • Bekalan air bersih: Microsoft bekerjasama dengan CLEAN International dan Water Watch Penang, dengan sokongan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk memasang sistem pengumpulan air hujan di 42 sekolah Johor yang membawa manfaat kepada 20,000 orang dan menjimatkan air berjumlah 8.4 juta liter setahun. Sistem-sistem ini membekalkan sumber air lestari untuk sanitasi, penjagaan kesihatan dan kebersihan serta penyenggaraan, sambil turut menyediakan latihan tentang pemuliharaan dan penyenggaraan sistem.
  • Pemuliharaan hutan bakau: Microsoft berganding bahu dengan Belia Prihatin dan WWF Malaysia, untuk menerajui projek pemuliharaan ekologi selama tiga tahun di Kampung Sungai Melayu dan Sungai Perapat di Johor, yang menggalakkan perikanan lestari, ekopelancongan dan pendidikan alam sekitar.

Merangkul perjalanan Malaysia menjadi Frontier Firm

Kini dengan  Asia Tenggara 3 sedang membina asas kukuh penggunaan AI yang boleh diskala, Microsoft membolehkan lebih banyak perniagaan berkembang maju menjadi Frontier Firm: memperkasakan aspirasi manusia dan mencipta keunikan berasaskan AI sebagai pembeza utama. Firma-firma ini membuktikan potensi sebenar dan memaksimumkan impak mereka dan mencipta nilai dengan cara yang baharu.

Walaupun banyak organisasi kini masih di peringkat awal perjalanan, sesetengah yang lain  juga telah berkembang maju kepada model yang lebih berlandaskan kerjasama, dengan manusia dan  ejen AI bergabung tenaga untuk mencapai matlamat bersama. Kami melihat keadaan ini berlaku di beberapa organisasi di Malaysia:

  • AFFIN Group menjadi bank pertama di Asia Pasifik untuk melaksanakan platform perbankan teras digital yang beroperasi di Microsoft Azure. Dibina berlandaskan konsep awan-asal, pencapaian ini mengangkat AFFIN sebagai perintis inovasi, membolehkan ketangkasan yang lebih tinggi, keselamatan yang dipertingkatkan, serta perkhidmatan yang lebih tersesuai mengikut skala.
  • PETRONAS menggambarkan masa depan di mana kecerdasan buatan (AI) menjadi sebahagian penting dalam operasi organisasi — memperkukuh proses membuat keputusan, mempercepat inovasi dan memacu pertumbuhan jangka panjang. Dengan memperkasa tenaga kerjanya melalui kemahiran AI, PETRONAS sedang membina asas kukuh untuk membawa impak transformasi. Menerusi kerjasama ini dan usaha bersama yang lebih meluas, PETRONAS berhasrat untuk terus memperkukuh perjalanan AI-nya serta membangunkan ekosistem inovasi bersama rakan strategik sehaluan demi masa depan yang lebih berdaya saing dan berimpak tinggi.
  • RHB Bank mengguna pakai Azure OpenAI, yang disepadukan di dalam Microsoft Teams, untuk menyelaraskan proses dan menyokong inovasi merentasi fungsi. Penyelesaian dwibahasa ini, yang disediakan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, membolehkan kakitangan mencari maklumat dengan tepat dan pantas, lantas meningkatkan kecekapan operasi sambil mematuhi protokol keselamatan yang kukuh. Hasilnya ialah pengalaman perbankan yang lebih lancar dan responsif bagi pelanggan.

(Foto di atas) Ryan Teoh, Ketua Kumpulan Strategi & Inovasi, RHB Bank; Ruslan Islahudin, Ketua Kumpulan Sumber Manusia, PETRONAS; Joanne Rodrigues, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Affin Bank Group; dan Judson Althoff,Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perniagaan Komersial Microsoft, berkongsi pandangan mereka semasa sesi perbincangan panel di AI Tour di Kuala Lumpur.

Memperkasakan rakyat
Malaysia dengan kemahiran AI menerusi AIForMYFuture

Dalam usaha menjamin transformasi yang terangkum, Microsoft terus melabur untuk meningkatkan kemahiran menerusi program AI Demi Masa Depan Malaysia (AIForMYFuture), iaitu inisiatif seluruh negara yang bertujuan melengkapi 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran berkaitan AI menjelang akhir 2025. Pada Oktober 2025, lebih daripada 734,000 individu telah menjalani latihan kemahiran daripada sektor kerajaan, syarikat korporat besar, perusahaan kecil sederhana, syarikat pemula, institusi pendidikan, komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan yang sepatutnya dan juga tenaga kerja am.

(Foto di atas) Laurance Si, Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia, di Microsoft AI Tour Kuala Lumpur pada 4 November 2025 di Kuala Lumpur, Malaysia.

Laurence Si, Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia, berkata, “Sebagai rakan teknologi yang dipercayai kepada Malaysia selama lebih daripada 33 tahun, Microsoft bertekad untuk memperkasakan tenaga kerja Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi AI. Menerusi AIForMYFuture, kami bekerjasama dengan kerajaan, industri dan komuniti untuk memastikan setiap rakyat Malaysia dilengkapi dengan kemahiran untuk membina kerjaya dalam ekonomi AI.”

“Di samping itu, rantau awan Asia Tenggara 3 yang akan datang menekankan komitmen berterusan Microsoft untuk menyediakan perkhidmatan awan yang terjamin, berdaya tahan dan boleh diskala yang akan menggiatkan inovasi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin digital serantau,” tambahnya

Membina asas berpacukan AI untuk pertumbuhan inklusif

Pada bulan Mei, Microsoft telah melancarkan BINA AI Malaysia bagi mempercepatkan transformasi AI negara. Salah satu inisiatif utama di bawah BINA AI Malaysia ialah Pusat Inovasi AI Negara (NAIC) Microsoft, yang ditubuhkan dengan kerjasama EY di Malaysia, Pejabat AI Negara (NAIO), dan Pusat Kepimpinan PETRONAS.

Sebagai sebahagian daripada usaha lebih meluas, Microsoft bekerjasama dengan pelbagai rakan strategik bagi melaksanakan penyelesaian AI di seluruh negara. Inisiatif termasuk kolaborasi dengan EY dan KWSP bagi membangunkan platform AI yang menyokong literasi kewangan dan perancangan persaraan 16 juta ahli. Platform ini membolehkan automasi dan penjanaan pandangan atas permintaan untuk meningkatkan keberkesanan operasi dan penglibatan ahli.