Microsoft umumkan rantau awan pertama di Malaysia, perkasakan lebih banyak organisasi Malaysia untuk menggiatkan inovasi AI

(Gambar di atas) Naib Presiden Eksekutif, Awan dan AI Microsoft, Scott Guthrie, mengumumkan pelaksanaan Malaysia West – rantau awan Microsoft pertama di negara ini – di acara AI Tour Microsoft Kuala Lumpur pada 28 Mei, 2025 di Kuala Lumpur, Malaysia.

Read this in English and Mandarin

Kuala Lumpur, 28 Mei 2025 – Microsoft telah mengumumkan ketersediaan umum Malaysia West (Malaysia Barat), rantau awan pertama di negara ini, yang menandakan satu mercu jaya penting dalam komitmen syarikat untuk memperkasakan transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) secara terangkum di Malaysia. 

Rantau Awan Malaysia West, yang terletak secara strategik di Greater Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Raya), bakal menjadi infrastruktur awan hiperskala sedia untuk AI dengan tiga zon ketersediaan. Kemudahan ini akan membolehkan organisasi Malaysia memanfaatkan capaian kepada perkhidmatan awan yang boleh diskala, tersedia dan berdaya tahan, disokong oleh kemudahan penempatan data di dalam negara, tahap keselamatan tinggi dan kadar kependaman yang lebih rendah.  

Rantau awan ini juga akan memberikan pelanggan capaian kepada perkhidmatan paling moden bagi produktiviti, analisis data, keselamatan siber, pengkomputeran dan simpanan. Antaranya termasuk perkhidmatan seperti Microsoft Azure dan Microsoft 365, dan juga himpunan aplikasi perniagaan Microsoft yang akan disediakan tidak lama lagi.  

YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital Malaysia, berkata dalam ucapan yang dirakam,  “Dengan rantau awan baharu ini, kita boleh memanfaatkan teknologi AI dan digital terkini untuk meningkat naik dalam rantaian nilai, dan Kerajaan telah membina landasan untuk membangunkan persekitaran bertaraf dunia yang dipercayai untuk perniagaan berkembang maju, sejajar dengan Prinsip Awan Dipercayai. Bersama-sama, marilah kita merebut peluang ini untuk menempa nama dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin serantau dalam ekonomi digital dan AI.”  

Scott Guthrie, Naib Presiden Eksekutif, Awan dan AI, Microsoft berkata, “Microsoft komited untuk menjadi rakan Malaysia dalam transformasi AI-nya. Malaysia West akan menyediakan infrastruktur bertaraf dunia untuk memperkasakan organisasi di Malaysia dan mempelopori inovasi dengan lebih pantas dan selamat berasaskan AI dan awan – mewujudkan masa depan yang terangkum, lestari dan sedia untuk AI.”  

Beberapa organisasi, perusahaan dan syarikat pemula sudah pun memanfaatkan rantau awan Malaysia West. PETRONAS, pembekal tenaga dan penyelesaian global Malaysia, akan berperanan sebagai rakan utama di Malaysia West. Dengan memanfaatkan infrastruktur awan hiperskala Microsoft yang diyakini, PETRONAS bersedia untuk mempercepatkan transformasi digital dan AI. Kerjasama jangka panjang ini menekankan penjajaran kukuh kedua-dua organisasi untuk menyokong keutamaan negara, memantapkan kedaulatan data, dan membina ekonomi digital yang berdaya tahan. 

Pelanggan lain yang menggunakan rantau awan baharu Microsoft termasuk FinHero, SCICOM Berhad, Senang, SIRIM Berhad, TNG Digital (pengendali TNG eWallet) dan Veeam. Malah, lebih banyak organisasi dijangka turut serta memandangkan permintaan bagi perkhidmatan awan yang selamat, boleh diskala dan dihoskan di dalam negara terus meningkat merentasi industri.  

IDC meramalkan manfaat ekonomi dan sosial umum boleh diraih daripada rantau awan Malaysia West baharu. Dalam tempoh empat tahun akan datang, Microsoft, rakan kerjasama dan pelanggannya yang menggunakan awan diunjurkan akan bersama-sama menjana hasil baharu bernilai US$10.9 bilion1, dengan rantau awan baharu mewakili kira-kira 16.9% daripada jumlah hasil baharu yang dijana sehingga 2028. Dalam tempoh masa yang sama, Microsoft, serta rakan kerjasama dan pelanggannya akan menambah 37,000 pekerjaan secara langsung dan tidak langsung. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,000 adalah pekerjaan dalam bidang IT. 

Memperkasakan inovasi AI yang dibina di Malaysia  

Di AI Tour Microsoft di Kuala Lumpur, Microsoft juga melancarkan BINA AI Malaysia, sebuah inisiatif untuk membantu memacu fasa seterusnya transformasi AI Malaysia. Berlandaskan wawasan yang didukung Microsoft untuk membina masa depan AI negara, BINA AI Malaysia mencerminkan komitmen Microsoft kepada pembangunan negara bukan sahaja dengan menyediakan infrastruktur dan penyelesaian teknologi yang boleh dipercayai, tetapi juga bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan merentasi industri untuk menggalakkan penggunaan AI dan membangunkan bakat yang sedia AI.  

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si memperkenalkan BINA AI Malaysia, sebuah inisiatif baharu oleh Microsoft untuk membantu memacu fasa seterusnya dalam transformasi AI Malaysia

Satu tumpuan utama di bawah inisiatif ini termasuk melanjutkan usaha menubuhkan Pusat Inovasi AI Negara Microsoft dengan matlamat memajukan strategi AI negara ini, memupuk kerjasama untuk mempercepatkan penggunaan AI dan menyelesaikan cabaran masyarakat menerusi penyelesaian pacuan AI. Untuk menghidupkan inisiatif ini, Microsoft akan bekerjasama dengan EY di Malaysia, Pejabat AI Kebangsaan Malaysia (NAIO) di bawah Kementerian Digital, dan Pusat Kepimpinan PETRONAS untuk menubuhkan sebuah Pusat yang berfungsi sebagai hab strategik bagi membangunkan penyelesaian dunia sebenar, memupuk bakat yang sedia untuk masa depan, dan memaparkan keupayaan AI negara. Pusat ini menyusuli pengumuman yang dibuat oleh Microsoft pada 2024 untuk melabur US$2.2 bilion bagi mencapai cita-cita awan dan AI Malaysia.  

Membina keupayaan AI bagi 800,000 rakyat Malaysia menerusi AIForMYFuture  

Microsoft kekal komited untuk menyokong usaha mencungkil bakat yang berwibawa bagi ekonomi AI Malaysia. Menerusi kerjasama rapat dengan NAIO, Microsoft telah memperkenalkan inisiatif AI Demi Masa Depan Malaysia (AIForMYFuture) pada Disember 2024, yang bertujuan melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran berkaitan AI menjelang akhir 2025. Setakat ini, Microsoft mengumumkan kejayaannya memahirkan 400,000 kakitangan daripada sektor kerajaan, syarikat besar dan syarikat kecil sederhana, syarikat pemula, institusi pendidikan, golongan memerlukan dan juga pekerja am.  

Laurence Si, Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia berkata, “Dengan Rantau Awan Malaysia West baharu Microsoft yang kini dibina di dalam negara, kami teruja dengan pelbagai peluang yang timbul bagi para pelanggan kami merentasi perusahaan sektor awam dan syarikat pemula untuk menjadi lebih pantas, tangkas, dan inovatif. Selain membina infrastruktur, kami komited untuk membawa kemahiran digital dan AI kepada setiap rakyat Malaysia menerusi inisiatif AIForMYFuture, menyokong wawasan negara untuk menjadi pemimpin digital serantau.”  

Untuk mencapai cita-cita tinggi ini, Microsoft berganding bahu dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Biji-biji Initiative, Persekutuan Wanita Antarabangsa bagi Perdagangan dan Industri Malaysia (IWFCIM), iTrain, PEOPLElogy, Pepper Labs, Urusetia Majlis TVET Negara (MTVET), dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp). 

Scott Guthrie bersama Izwan Ismail, Naib Presiden Teknologi dan Pengkomersilan Kumpulan PETRONAS; Risham Akashah, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Affin Bank Berhad; dan Dr. Rasyidah Che Rosli, Pengarah Bahagian E-Invois Jabatan Operasi Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam perbincangan panel semasa Microsoft AI Tour Kuala Lumpur
English (United States)
Your Privacy Choices Opt-Out Icon Your Privacy Choices
Consumer Health Privacy Sitemap Contact Microsoft Privacy Manage cookies Terms of use Trademarks Safety & eco Recycling About our ads