
Pelaksanaan rantau awan Microsoft yang akan datang bakal buka peluang ekonomi baharu bagi Malaysia
IDC ramalkan Microsoft, rakan niaga dan pelanggan pengguna awannya bakal menjana hasil baharu bernilai AS$10.9 bilion dan mencipta 37,575 pekerjaan baharu bagi Malaysia menjelang 2028
Read this in English and Mandarin
Kuala Lumpur, 20 Mac 2025 – Microsoft telah memperkukuhkan komitmennya hari ini untuk memajukan ekonomi awan dan AI Malaysia dengan pembukaan pusat awan hiperskala, rantau awan Malaysia Barat (Malaysia West cloud region) tidak lama lagi. Kemudahan ini akan berfungsi sebagai pusat data pertama Microsoft di negara ini, yang terletak secara strategik di Kawasan Kuala Lumpur Raya dan dijadualkan beroperasi pada suku kedua tahun 2025.
Tinjauan IDC “Gambaran Dividen Awan Microsoft” (Microsoft Cloud Dividend Snapshot) bagi Malaysia, yang dikendalikan oleh Microsoft, mendedahkan manfaat rantau awan Malaysia Barat yang bakal dibuka. Kajian menunjukkan bahawa dari sekarang hingga 2028, Microsoft, rakan-rakan niaga dan para pelanggan pengguna awannya akan bersama-sama menjana AS$10.9 bilion dalam hasil baharu – menggalakkan pelaburan ke dalam ekonomi tempatan dan membantu mewujudkan 37,575 pekerjaan baharu. Daripada jumlah pekerjaan baharu ini, 5,700 terdiri daripada pekerjaan mahir dalam bidang IT.
Rantau awan Malaysia Barat yang akan datang menandakan satu mercu jaya penting dalam sejarah 33 tahun Microsoft bertapak di negara ini, menyokong usaha berterusan negara untuk mempelopori inovasi digital dan menjana pertumbuhan ekonomi yang terangkum.
Apabila beroperasi kelak, rantau awan Malaysia Barat akan menyediakan teknologi awan Microsoft yang paling diyakini dan menyeluruh kepada organisasi di seluruh Malaysia, membolehkan mereka meluaskan operasi, meningkatkan kecekapan dan membina daya tahan digital. Pusat data serantau baharu ini juga akan memenuhi keperluan mastautin data tempatan, membolehkan organisasi menguruskan data mereka dengan selamat sambil mematuhi peraturan kerajaan.
Selain pelaburan infrastruktur, Microsoft komited untuk menawarkan peluang meningkatkan kemahiran dan mengukuhkan kerjasamanya dengan Kerajaan Malaysia. Pada Mei 2024, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Satya Nadella mengumumkan pelaburan AS$2.2 bilion untuk memacu cita-cita awan dan AI Malaysia.
Membina Malaysia yang terangkum dan bersedia untuk AI
Pada Disember 2024, Microsoft memperkenalkan inisiatif “AI demi Masa Depan Malaysia ” (AIForMYFuture) yang bertujuan untuk melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran AI menjelang akhir 2025. Inisiatif ini meluaskan lagi usaha meningkatkan kemahiran lain yang dilaksanakan baru-baru ini oleh Microsoft di Malaysia, termasuk kejayaannya melengkapkan lebih daripada 1.53 juta rakyat Malaysia dengan kemahiran digital sebagai sebahagian daripada inisiatif Bersama Malaysia.
“Dengan kepesatan inovasi di Malaysia, rantau awan Malaysia Barat yang akan datang bukan sekadar sebuah infrastruktur teknologi, tetapi menjadi kunci untuk memperkasakan ekonomi AI negara yang sedang berkembang maju. Perniagaan dan organisasi tempatan akan dapat mempelopori inovasi dengan lebih pantas dan lebih selamat, menggerakan usaha negara untuk menjadi sebuah hab awan dan AI di Asia Tenggara”, kata Laurence Si, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia.
Beliau menyambung, “Sebagai rakan teknologi yang boleh dipercayai negara ini selama 33 tahun, Microsoft bertekad untuk menyokong perjalanan digital Malaysia menerusi pelaburan strategik dalam infrastruktur, pembangunan bakat dan sokongan inovasi – memperkasakan setiap individu dan organisasi untuk meraih manfaat daripada dunia digital.”
Dr. Andrew Lau, Pengarah Program Strategik Microsoft Malaysia berkata, “Dengan komitment Microsoft untuk mengubah infrastruktur awan dan AI di Malaysia, rantau awan Malaysia Barat yang akan datang membolehkan syarikat-syarikat Malaysia meningkatkan inovasi mereka dengan lebih lancar, sambil menawarkan perniagaan global pintu masuk ke Malaysia dengan kesiapsiagaan teknologi yang terintegrasi. Kami yakin bahawa rantau awan baharu ini akan meningkatkan daya saing global negara dalam persekitaran digital yang pesat berkembang, memacu Malaysia ke hadapan bagi menerajui masa depan berpandukan AI.”
Untuk maklumat lanjut mengenai rantau awan Malaysia Barat dan peluang yang dibuka kepada perniagaan dan organisasi tempatan, layari: aka.ms/MalaysiaCloudRegionPlaybook.