Microsoft Bawakan Previu PC Game Pass ke Lima Negara Baharu di Asia Tenggara

 |   Microsoft Malaysia

Read the English version here

KUALA LUMPUR, 29 Mac 2022 – Kami teruja untuk mengumumkan bahawa kami akan membawakan previu PC Game Pass buat pertama kali ke Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, dan Vietnam. Mulai hari ini, para pemain boleh mendaftar untuk previu PC Game Pass yang membolehkan mereka menikmati lebih 100 permainan bermutu tinggi termasuk pelancaran Xbox Game Studios baharu sejak dari hari pertama, permainan terkenal daripada Bethesda, dan juga keahlian EA Play pada satu harga bulanan yang rendah. Dengan pelbagai pilihan permainan PC meliputi segala genre, dan permainan baharu yang sentiasa ditambah baik. Pasti ada permainan untuk dinikmati oleh semua.

Hanya beberapa minit diperlukan untuk menyertai previu aplikasi Xbox Insider.1 Para pemain kemudian boleh mencuba PC Game Pass pada harga RM0.50 sepanjang tempoh previu sambil kami membina dan menguji sistem pembayaran tempatan. Memandangkan ini merupakan langkah pertama untuk menyediakan akses PC Game Pass ke rantau ini, peserta boleh menguji dan berkongsi maklum balas supaya kita terus menambah baik segala aspek perkhidmatan. Kami akan berkongsi maklumat lanjut tentang cara untuk menyertai PC Game Pass apabila perkhidmatan tersebut dilancarkan di Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, dan Vietnam kemudian pada tahun ini.

PC Game Pass dilancarkan pada 2019 dan telah dibina dari peringkat asas dengan kerjasama komuniti permainan PC untuk memberi kebebasan penuh kepada pemain di mana-mana untuk meneroka dan menikmati pilihan permainan hebat yang disediakan khas. Sejak itu, kami terus meluaskan perkhidmatan berasaskan maklum balas yang kami terima daripada ahli-ahli di seluruh dunia. Kami komited untuk membantu pemain menemui permainan kegemaran mereka yang seterusnya, dan kami teruja untuk membawakan pengalaman hebat ini ke negara-negara baharu di Asia Tenggara.

“Di Xbox, misi kami memang mudah, untuk membawakan keseronokan dan komuniti permainan kepada semua insan di bumi. Langkah membawakan PC Game Pass ke negara-negara baharu di Asia Tenggara adalah sebahagian penting daripada usaha kami untuk mencapai matlamat ini dan mendapatkan berbilion pemain,” kata Jeremy Hinton, Ketua Perniagaan Xbox Asia.

PC Game Pass antara lain termasuk Minecraft, Forza Horizon 5, Age of Empires IV, Sea of Thieves and Microsoft Flight Simulator. Turut disertakan ialah permainan baharu Xbox Game Studios sejak hari pertama pelancaran seperti Halo Infinite, dan juga termasuk francais terkenal seperti Fallout dan The Elder Scrolls daripada Bethesda Softworks, permainan pemilik bebas, di samping permainan kegemaran ramai. EA Play turut disediakan dalam perkhidmatan, termasuk beberapa francais terbesar di dunia, iaitu FIFA, Battlefield, The Sims, dan Mass Effect.

PC Game Pass menawarkan rangkaian luas permainan bermutu tinggi daripada pelbagai studio permainan, dengan pengalaman dari setiap genre permainan. Xbox Insiders akan mendapat peluang pertama untuk menikmati pengalaman yang ditawarkan PC Game Pass dan tidak sabar-sabar untuk menyediakannya kepada lebih ramai pemain tidak lama lagi.”

Untuk maklumat lanjut mengenai PC Game Pass di Malaysia, sila kunjungi: https://www.microsoft.com/store/productid/9pldpg46g47z

 


¹ Untuk bermula, muat turun aplikasi Xbox Insider daripada Microsoft Store di Windows. Selepas mendaftar masuk ke dalam aplikasi dengan akaun Microsoft anda, pergi ke tab Previews dan sertai previu ‘PC Game Pass Southeast Asia Market Expansion. Tunggu pendaftaran selesai dan anda sedia bermula! Setelah anda memasuki previu, buka aplikasi Xbox dengan akaun Microsoft sama yang anda gunakan untuk menyertai previu PC Game Pass Southeast Asia Market Expansion dan kemudian langgan PC Game Pass daripada aplikasi Xbox. Selepas melanggan perkhidmatan, anda sedia memuat turun dan bermain permainan dari koleksi permainan yang disediakan! Sambil anda mula bermain permainan dan meneroka aplikasi Xbox, anda diminta membantu kami menambah baik pengalaman dengan mengemukakan maklum balas. Untuk menghantar maklum balas, klik pada ikon pengguna pada bahagian kanan atas aplikasi Xbox dan pilih Feedback daripada senarai menurun.