Microsoft Build 2025: Membina web terbuka berpacukan agen dalam era keleluasaan agen AI

 |   Frank X. Shaw - Chief Communications Officer, Microsoft

Microsoft Build 2025

Kita kini telah memasuki era baharu agen AI. Model AI kini lebih cekap dan berwibawa hasil kemajuan besar dalam pemikiran dan memori. Malah kita kini dapat melihat bagaimana sistem AI boleh membantu menyelesaikan masalah dengan cara baharu.  

Sebagai contoh, 15 juta pencipta penyelesaian sudah pun menggunakan GitHub Copilot, dan ciri-ciri seperti mod agen dan penilaian kod yang menyelaraskan cara mereka mengatur cara kod, menyemak, melaksanakan dan menyelesaikan masalah.  

Beratus ribu pelanggan menggunakan Microsoft 365 Copilot untuk menyelidik, memikirkan dan membangunkan penyelesaian, dan lebih daripada 230,000 organisasi — termasuk 90% daripada syarikat Fortune 500 — sudah menggunakan Copilot Studio untuk membina agen dan automasi AI.  

Azure AI Foundry digunakan oleh syarikat seperti Fujitsu dan NTT Data untuk membina dan menguruskan aplikasi dan agen AI yang membantu menentukan keutamaan prospek jualan, mempercepatkan penghasilan cadangan dan menonjolkan maklumat pelanggan. Stanford Health Care kini menggunakan penyelaras agen penjagaan kesihatan Microsoft untuk membina dan menguji agen AI  yang boleh membantu meringankan beban pentadbiran dan mempercepatkan aliran kerja bagi proses persediaan lembaga doktor yang merawat tumor. 

Pencipta penyelesaian menjadi tumpuan segala usaha ini. Selama lebih 50 tahun, Microsoft telah memperkasakan pencipta dengan alat dan platform untuk menzahirkan idea masing-masing, lantas menggiatkan inovasi di setiap peringkat. Daripada automasi berpandukan AI kepada penyepaduan awan lancar dan banyak lagi, usaha para pencipta memacu transformasi digital generasi akan datang ternyata amat mengagumkan.  

Apakah langkah seterusnya?  

Kami membayangkan dunia di mana agen beroperasi dalam konteks individu, organisasi, pasukan dan perniagaan dari mula hingga akhir. Wawasan baharu yang sedang muncul bagi Internet ialah sebagai sebuah web gergasi terbuka, di mana agen AI membuat keputusan dan melakukan tugasan bagi pihak pengguna organisasi.  

Di Microsoft Build, kami berkongsi  langkah-langkah yang kami ambil untuk merealisasikan wawasan tersebut menerusi platform, produk dan infrastruktur kami. Malah, kami meletakkan model baharu dan agen pengekodan di tangan pemaju, dengan memperkenalkan agen gred perusahaan, menjadikan platform seperti Azure AI Foundry, GitHub dan Windows sebagai wadah terbaik untuk membina perisian, menerima pakai protokol terbuka dan mempercepatkan penemuan saintifik dengan AI, semuanya supaya pencipta dan organisasi boleh mencipta penyelesaian hebat yang akan datang.  

Berikut adalah ringkasan beberapa pengumuman yang dibuat pada hari ini:  

Membayangkan semula kitaran hayat pembangunan perisian dengan AI 

Hakikatnya, AI sedang mengubah cara kod diatur cara, digunakan dan disenggarakan. Para pencipta kini menggunakan AI untuk mengikuti aliran persekitaran mereka lebih lama dan mengalih tumpuan kepada tugas lebih strategik. Malah, sambil kitaran hayat pembangunan perisian dirombak sama sekali, kami menyediakan ciri-ciri baharu merentasi platform termasuk GitHub, Azure AI Foundry dan Windows yang membolehkan pencipta bekerja dengan lebih pantas, membayangkan sesuatu yang lebih besar dan membina mengikut skala.  

  • Agen pengekodan GitHub Copilot dan GitHub Models yang baharu dikemas kini: GitHub Copilot kini berkembang maju daripada hanya sebagai pembantu dalam editor kepada agen AI rakan kerjasama, dengan agen pengekodan tak segerak pertama seumpamanya disepadukan ke dalam platform GitHub. Kami menambah ciri pengurusan prompt, penilaian ringan dan kawalan perusahaan kepada GitHub Models, supaya pasukan-pasukan boleh mencuba model terbaik dalam kelasnya, tanpa meninggalkan GitHub. Microsoft juga menjadikan GitHub Copilot Chat sumber terbuka dalam VS Code. Keupayaan berpacukan AI daripada lanjutan GitHub Copilot kini akan menjadi sebahagian daripada repositori sumber terbuka sama yang memacu alat pembangunan paling popular dunia. Menempatkan lebih 150 juta pencipta, usaha ini menekankan komitmen kami kepada pembangunan perisian yang bersifat terbuka, berlandaskan kerjasama dan berpacukan AI. Ketahui lebih lanjut tentang GitHub Copilot yang dikemas kini. 
  • Memperkenalkan Windows AI Foundry: Bagi para pencipta, Windows kekal sebagai salah satu platform paling terbuka dan digunakan secara meluas, dengan skala, fleksibiliti dan peluang yang semakin besar. Windows AI Foundry menyediakan platform bersepadu dan boleh dipercayai yang menyokong kitaran hayat pencipta AI meliputi latihan dan proses membuat kesimpulan. Dengan model API ringkas untuk tugas penglihatan dan bahasa, para pencipta boleh menguruskan dan mengendalikan LLM sumber terbuka menerusi Foundry Local atau membawakan model hak milik untuk ditukar, ditala dan dilaksanakan bagi pelanggan dan awan. Windows AI Foundry boleh didapati mulai hari ini. Untuk mengetahui lebih lanjut layari Windows Developer Blog kami. 
  • Model Azure AI Foundry dan alatan baharu untuk penilaian model: Azure AI Foundry ialah platform bersepadu bagi pencipta untuk mereka bentuk, menyesuaikan dan menguruskan aplikasi dan agen AI.  Dengan Model Azure AI Foundry, kami membawakan model Grok 3 dan Grok 3 mini daripada xAI kepada ekosistem kami, yang dihoskan dan dibilkan secara langsung oleh Microsoft. Para pencipta kini boleh memilih daripada lebih 1,900 model AI yang dihoskan oleh rakan kerjasama dan juga Microsoft, sambil menguruskan penyepaduan data selamat, penyesuaian model dan tadbir urus gred perusahaan.  Kami juga memperkenalkan alat baharu seperti Model Leaderboard, yang menarafkan model AI berprestasi terbaik  mengikut kategori dan tugasan, dan Model Router, yang dirangka untuk memilih model optimum bagi pertanyaan atau tugasan khusus dalam masa sebenar. Baca selanjutnya tentang Model Azure AI Foundry.  

Menjadikan agen AI lebih berwibawa dan selamat  

Agen AI bukan sahaja mengubah cara pencipta membina aplikasi, tetapi juga cara individu, pasukan dan syarikat melaksanakan kerja. Di Build, kami melancarkan agen-agen baharu yang tersedia, blok penciptaan agen tersesuai, keupayaan berbilang agen dan model baharu untuk membantu pencipta dan organisasi untuk membina dan menggunakan agen dengan selamat bagi meningkatkan produktiviti dengan cara yang bermakna. 

  • Dengan penyediaan Azure AI Foundry Agent Service secara umum, Microsoft membawakan keupayaan baharu yang memperkasakan pencipta profesional untuk menyelaraskan berbilang agen terkhusus bagi mengendalikan tugasan kompleks, termasuk membawakan Semantic Kernel dan AutoGen ke dalam SDK bertumpukan pencipta tunggal dan memberikan sokongan Agent-to-Agent (A2A) dan Model Context Protocol.  Untuk membantu pencipta membina kepercayaan dan keyakinan terhadap agen AI masing-masing, kami mengumumkan ciri-ciri baharu dalam Azure AI Foundry Observability bagi keupayaan pemerhatian sedia terbina dari segi ukuran prestasi, kualiti, kos dan keselamatan, semuanya disediakan bersama penjejakan terperinci dalam paparan utama yang terselaras. Pelajari lebih lanjut tentang cara menggunakan agen AI gred perusahaan dalam Azure AI Foundry Service. 
  • Meneroka, melindungi dan mentadbir urus dalam Azure AI Foundry: Dengan Microsoft Entra Agent ID, kini dalam versi pratonton, agen yang dihasilkan oleh para pencipta dalam Microsoft Copilot Studio atau Azure AI Foundry akan diberikan identiti unik secara automotik dalam direktori Entra, membantu perusahaan menguruskan agen dengan selamat sejak dari mula lagi untuk mengelakkan “penyelerakan agen” yang boleh menimbulkan titik buta. Aplikasi dan agen yang dibina dengan Foundry mendapat manfaat selanjutnya daripada keselamatan data dan kawalan pematuhan. Foundry juga menawarkan alat tadbir urus ditambah baik untuk menetapkan parameter risiko, mengendalikan penilaian berautomasi dan menerima laporan terperinci. Ketahui lebih lanjut tentang Microsoft Entra Agent ID dan integrasi Azure AI Foundry dengan Microsoft Purview Compliance Manager.   
  • Memperkenalkan Microsoft 365 Copilot Tuning dan penyelarasan berbilang agen: Dengan Copilot Tuning, pelanggan boleh menggunakan data, aliran kerja dan proses syarikat mereka sendiri untuk melatih model dan mencipta agen dengan cara yang ringkas, menggunakan pengaturcaraan kod rendah. Agen-agen ini melakukan tugasan bidang khusus secara sangat tepat, dengan selamat dari dalam medan perkhidmatan Microsoft 365. Sebagai contoh, sebuah syarikat guaman boleh mencipta agen yang menjana dokumen yang selari dengan kepakaran dan gaya organisasi mereka. Tambahan lagi, penyelarasan berbilang agen dalam Copilot Studio menghubungkan pelbagai agen, membolehkannya menggabungkan kemahiran dan menjalankan tugasan yang lebih luas dan kompleks. Layari Microsoft 365 blog untuk mempelajari cara mengakses alat-alat baharu ini dan juga Microsoft 365 Copilot Wave 2 yang dilancarkan pada musim bunga, yang kini sudah disediakan kepada umum dan mula dilancarkan pada hari ini.  

Menyokong web terbuka berpacukan agen  

Untuk merealisasikan masa depan agen AI, kami memajukan piawaian terbuka dan infrastruktur dikongsi untuk memberikan keupayaan unik kepada pelanggan. 

  • Menyokong Model Context Protocol (MCP): Microsoft menyediakan sokongan pihak pertama meluas bagi Model Context Protocol (MCP) merentasi platform dan rangka kerja agennya, yang mencakupi GitHub, Copilot Studio, Dynamics 365, Azure AI Foundry, Semantic Kernel dan Windows 11. Di samping itu, Microsoft dan GitHub telah menyertai Jawatankuasa Pemandu MCP untuk membantu menggalakkan penggunaan protokol terbuka secara selamat dan berskala dan mengumumkan dua sumbangan baharu kepada ekosistem MCP, iaitu sebuah spesifikasi pengesahan dikemas kini, yang membolehkan orang ramai menggunakan kaedah pendaftaran masuk yang mereka percayai untuk memberikan agen dan aplikasi pacuan LLM akses kepada data dan perkhidmatan seperti pemacu simpanan peribadi atau perkhidmatan langganan, dan reka bentuk perkhidmatan daftar pelayan MCP, yang membenarkan sesiapa sahaja untuk melaksanakan repositori awam atau swasta berpusat yang terkini bagi catatan pelayan  MCP masing-masing. Sila layari repositori GitHub. Sambil kami meluaskan keupayaan MCP, keutamaan kami ialah untuk memastikan bahawa kami membina asas yang selamat. Untuk mempelajari lebih lanjut tentang pendekatan ini, lihat: Melindungi Model Context Protocol: Membina Masa Depan Berpacukan Agen yang Selamat pada Windows.  
  • Projek terbuka baharu yang dinamakan NLWeb: Microsoft memperkenalkan NLWeb, yang kami yakin boleh memainkan peranan sama seperti HTML untuk web berpacukan agen. NLWeb memudahkan laman web untuk menyediakan antara muka berasaskan perbualan kepada pengguna dengan menggunakan model pilihan dan data mereka sendiri, membolehkan pengguna berinteraksi secara langsung dengan kandungan web dengan cara yang beraneka dan bermakna. Setiap titik akhir NLWeb juga merupakan pelayar MCP, maka laman web boleh menjadikan kandungan mereka lebih mudah ditemui dan diakses kepada agen AI jika mereka mahu. Pelajari lebih lanjut di sini. 

Mempercepatkan penemuan saintifik dengan AI 

Sains mungkin merupakan salah satu aplikasi paling penting AI, membantu menangani cabaran paling mendesak umat manusia, daripada penemuan ubat kepada kelestarian. Di Build, kami memperkenalkan Microsoft Discovery, platform lanjutan yang dibina untuk memperkasakan penyelidik untuk merombak seluruh proses penemuan dengan AI berpacukan agen, membantu jabatan penyelidikan dan pembangunan dalam pelbagai industri untuk mempercepatkan masa ke pasaran bagi produk baharu sambil menggiatkan dan meluaskan proses penemuan dari mula hingga akhir bagi semua ahli sains. Ketahui lebih lanjut di sini. 

Ciri-ciri kelebihan yang dipaparkan di sini hanyalah sebahagian daripada pelbagai ciri dan kemas kini menarik yang akan kami umumkan di Build. Kamiamat teruja untuk berhubung dengan mereka yang telah mendaftar untuk menyertai acara kami secara maya dan fizikal, untuk sesi ucaptama, penilaian kod terperinci secara langsung, sesi menggodam dan  banyak lagi — semuanya boleh disertai atas permintaan.    

Di samping itu, anda boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang pengumuman ini dengan melayari Book of News, ikhtisar rasmi semua berita yang diumumkan pada hari ini.