Cradle dan Microsoft bekerjasama perkasakan syarikat pemula Malaysia

 |   Microsoft Malaysia

(Photo above) From left: Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Deputy Secretary General (Technology Development) at Ministry of Science, Technology & Innovation; K Raman, Managing Director at Microsoft Malaysia; YB Dato’ Sri Dr. Adham Bin Baba, Minister of Science, Technology & Innovation; Datuk Yvonne Chia, Chairman of Cradle; Norman Matthieu, Acting Chief Executive Officer of Cradle at the MOU exchange event between Microsoft and Cradle

Read the English version here

KUALA LUMPUR, 09 Ogos 2022Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Malaysia bertekad untuk bekerjasama dengan Microsoft bagi menyediakan platform kepada syarikat-syarikat pemula atau start-ups untuk membangunkan hasil inovasi di peringkat global. Dengan menyepadukan Microsoft for Startups Founders Hub dalam platform MYStartup mereka, kedua-dua pihak akan menyediakan peluang kepada syarikat-syarikat pemula untuk meningkatkan kemahiran, memberi panduan dari segi teknikal, menyediakan capaian kepada Microsoft Mentor Network berserta akses percuma kepada GitHub Enterprise dan peningkatan produktiviti dengan Microsoft 365 serta kredit awan Azure bernilai sehingga USD150,000.00 untuk membangunkan produk mereka.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, jalinan kerjasama antara Cradle dan Microsoft adalah dengan harapan untuk memastikan kemampanan ekosistem syarikat-syarikat pemula di Malaysia.  Syarikat-syarikat pemula juga perlu mengambil peluang dalam memanfaatkan kepakaran dan ilmu yang ada pada syarikat besar seperti Microsoft untuk meneroka pasaran antarabangsa. “MOSTI percaya bahawa kolaborasi ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan pembangunan yang lebih giat kepada syarikat-syarikat pemula di Malaysia. Ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan untuk memperkasakan ekosistem teknologi di Malaysia, selain menjadi peneraju ekosistem syarikat-syarikat pemula menjelang 2030 seterusnya mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan,” katanya.

YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba menambah, “Kerjasama antara Cradle dan Microsoft bukan sekadar untuk menyediakan akses kepada teknologi digital kepada para usahawan, tetapi juga untuk memastikan daya tahan ekonomi, kemahiran dan pengetahuan digital dapat dikuasai dan seterusnya menyediakan persekitaran digital yang boleh dipercayai serta selamat agar perniagaan dapat berkembang maju.”

Sambil Malaysia menggiatkan usaha untuk mencapai cita-cita MyDIGITAL, tumpuan membina tenaga kerja digital bagi perniagaan dan organisasi menjadi faktor yang penting untuk memperkasakan ekonomi digital terangkum negara. Untuk mencapai matlamat ini, syarikat pemula di bawah Cradle berpeluang mengikuti Kursus Asas Microsoft Azure, untuk membina kecelikan digital dalam bidang perkomputeran awan, infrastruktur sebagai perkhidmatan (IaaS), platform sebagai perkhidmatan (PaaS), dan perisian sebagai perkhidmatan (SaaS). Kursus-kursus ini akan melengkapkan syarikat-syarikat pemula dengan kemahiran untuk mencapai cita-cita dan mempelopori inovasi dalam tawaran produk dan dalam pada itu menerima pensijilan yang diiktiraf global yang mengesahkan keupayaan digital masing-masing.

“Kita sering lihat syarikat pemula di Malaysia menghadapi kesukaran untuk merealisasikan idea mereka. Kebanyakannya berpotensi dan berdaya saing namun sukar mengambil peluang menggunakan teknologi yang sedia ada. Justeru itu, Cradle sangat teruja untuk bekerja rapat dengan Microsoft sebagai rakan kolaborasi bagi mempertingkatkan kepakaran teknologi sekali gus membangunkan ekosistem syarikat pemula yang lebih mampan di Malaysia,” kata Norman Matthieu Vanhaecke, Pemangku CEO Kumpulan Cradle.

Ahmad Kashfi Alwi, Naib Presiden Kanan, Pembangunan Ekosistem Cradle mengulas, “Dengan pelbagai halangan yang dihadapi oleh start-up, MOSTI melalui Cradle telah mengambil langkah untuk menyediakan sokongan jangka masa panjang melalui program MYStartup bagi memperkasakan syarikat-syarikat pemula melalui inisiatif-inisiatif pembangunan kapasiti yang lebih komprehensif. Ini diharap dapat memberi manfaat dan bimbingan kepada mereka untuk meningkatkan lagi daya saing dan kebolehpasaran.”

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman berkata, “Tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 Microsoft di Malaysia dan kami teruja untuk terus berganding bahu dengan negara untuk membantu setiap insan dan setiap organisasi tanpa mengira saiz, untuk mengguna pakai dan memanfaatkan teknologi. Di Microsoft, kami mempunyai teknologi dan keupayaan pasaran bersasar yang unik untuk membantu merealisasikan cita-cita syarikat pemula di Malaysia. Kami akan mengetengahkan platform Microsoft untuk Hab Pengasas Start-up di Malaysia sebagai sebahagian daripada jalinan kolaborasi dengan Cradle dan MOSTI. Ini menunjukkan komitmen yang berterusan Microsoft di bawah inisiatif Bersama Malaysia.”

Selepas kerjasama diumumkan antara Cradle dan Microsoft Malaysia, sesi perbincangan bertemakan ‘Empowering Startups with Technology’ turut diadakan dengan menghimpunkan barisan panel yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin industri iaitu YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Puan Azizah Ali, Ketua Pegawai Pemasaran dan Operasi, Microsoft Malaysia; Dr. Raymond Choy, Ketua Pegawai Eksekutif DOC2US; dan Encik Patrick Hew, Ketua Pegawai Teknologi Paywatch.