Microsoft Inspire: Kerjasama untuk memacukan transformasi AI

 |   Frank X. Shaw – Chief Communications Officer, Microsoft

Microsoft Inspire

Kerjasama merupakan satu komponen penting dalam kejayaan Microsoft. Ekosistem rakan kerjasama kami, yang terdiri daripada lebih 400,000 rakan di seluruh dunia, memainkan peranan penting membawa teknologi baharu kepada pelanggan, terutamanya dalam dunia AI pada masa kini. Microsoft Inspire mengiktiraf peranan rakan kerjasama kami dalam mencapai kejayaan pelanggan serta berkongsi peluang dan cara baharu untuk memanfaatkan produk Microsoft.

Dalam usaha kami mengiktiraf pencapaian mengagumkan rakan-rakan kerjasama, kami melancarkan Microsoft Inspire dengan meraikan peserta akhir dan pemenang Anugerah Rakan Kerjasama Terbaik Microsoft 2023, yang diumumkan pada lewat Jun. Anugerah ini mengetengahkan kejayaan dan inovasi rakan-rakan kerjasama dalam pelbagai kategori, merentasi bidang penyelesaian dan industri, yang mencetus transformasi perniagaan dan kesan sosial.

Microsoft Inspire tahun ini meneruskan usaha kami untuk menjadikan AI sebagai alat transformasi bagi para pelanggan dan rakan kerjasama. Malah, kami teruja untuk berkongsi lebih banyak penyelesaian berpandukan AI dan menunjukkan cara rakan kerjasama Microsoft boleh mengguna pakai inovasi AI di seluruh organisasi mereka dalam pelbagai cara, daripada meningkatkan kemahiran AI kepada penyediaan produk dan perkhidmatan baharu yang mendorong kejayaan pelanggan. Teruskan membaca untuk mengikuti beberapa pengumuman penting di acara tahun ini.

Memperkenalkan Bing Chat Enterprise

Sejak melancarkan Bing baharu pada bulan Februari, kami telah menerima maklum balas daripada ramai pelanggan korporat yang berminat untuk memperkasakan organisasi mereka dengan alat AI baharu yang berkuasa, tetapi juga prihatin dengan perlindungan data syarikat masing-masing. Hasil daripada maklum balas tersebut, hari ini kami mengumumkan pelancaran Bing Chat Enterprise, yang menyediakan perisian sembang pacuan AI yang dilengkapi perlindungan data komersial. Data yang masuk dan keluar tetap  dilindungi, membolehkan pelanggan komersial memberikan jawapan yang lebih baik secara terurus, sambil meningkatkan kecekapan dan kreativiti.

Bing Chat Enterprise boleh didapati mulai hari ini menerusi previu untuk organisasi yang memiliki lesen Microsoft 365 E5, E3, Business Premium dan Business Standard, tanpa kos tambahan. Kami juga akan menyediakan Bing Chat Enterprise untuk langganan secara berasingan pada masa depan pada harga AS$5 sebulan untuk setiap pengguna. Dapatkan maklumat lanjut dan ketahui cara untuk mula menggunakan Bing Chat Enterprise.

Pengumuman Harga Microsoft 365 Copilot

Pada hari ini, kami juga dengan sukacitanya mengumumkan harga untuk Microsoft 365 Copilot. Aplikasi ini disediakan pada harga AS$30 sebulan bagi setiap pengguna untuk pelanggan Microsoft 365 E3, E5, Business Standard dan Business Premium apabila mula disediakan secara umum.

Sesetengah aplikasi AI generatif memberi tumpuan kepada keupayaan tunggal, seperti transkripsi masa nyata atau penulisan, namun Microsoft 365 Copilot menyediakan beribu-ribu kemahiran mengikut kehendak anda. Dengan memberikan jawapan berasaskan data perniagaan seperti dokumen, e-mel, kalendar, aplikasi sembang, mesyuarat dan kenalan, dan menggabungkannya dengan konteks kerja anda – seperti mesyuarat yang sedang anda hadiri sekarang, e-mel yang telah anda balas dalam topik tertentu, perbualan anda di ruang sembang minggu lepas – Copilot sedia memberikan respons yang lebih terperinci, relevan dan berguna kepada soalan anda. Malah Microsoft 365 Copilot disepadukan ke dalam aplikasi yang digunakan oleh berjuta-juta orang setiap hari. Copilot mencetus kreativiti anda dalam Word, menganalisis data dalam Excel, mereka bentuk pembentangan dalam PowerPoint, menentukan keutamaan e-mel yang diterima dalam Outlook anda, menyediakan ringkasan mesyuarat dalam Teams – tidak kira sama ada anda hadir atau tidak – dan banyak lagi.

Memperkasakan jurujual dan ejen perkhidmatan pelanggan dengan AI

Jurujual perlu dilengkapi seberapa banyak pilihan aplikasi untuk membantu menjalankan tugas mereka. Oleh itu, kami menambah lebih banyak fungsi dalam Microsoft Sales Copilot yang dilakukan secara langsung dalam Dynamics 365 Sales, seperti ringkasan peluang yang dijana AI, draf e-mel berasaskan konteks dan persediaan mesyuarat. Kemudahan ini memperkasakan jurujual untuk meningkatkan produktiviti dan menyempurnakan lebih banyak jualan menerusi fungsi tugasan automatik perisian CRM atau Pengurusan Perhubungan Pelanggan (termasuk Salesforce), menjana maklumat terperinci yang boleh diambil tindakan serta kandungan dan cadangan bantuan AI untuk menyesuaikan interaksi pelanggan secara berskala. Semua ciri kelebihan ini menambah keupayaan AI yang sedia ada dalam Microsoft Sales Copilot seperti ringkasan panggilan Teams dan ringkasan urutan e-mel. Sementara itu Viva Sales, yang diumumkan pada Jun 2022, memulakan usaha kami untuk menambah baik pengalaman jurujual, dan keupayaan tersebut kini menjadi sebahagian daripada Sales Copilot. Baca selanjutnya tentang Microsoft Sales Copilot.

Di Microsoft Inspire, kami juga memaparkan usaha pelanggan seperti Virgin Money memperkasakan jabatan perkhidmatan pelanggan mereka dengan bot sembang (chatbot) yang disediakan dengan Copilot dalam Power Virtual Agents. Dalam masa beberapa minit, syarikat-syarikat perniagaan boleh melatih chatbot masing-masing menggunakan bahasa biasa untuk merujuk sumber pengetahuan dalaman dan luaran, aplikasi perkhidmatan pelanggan dan data web melalui khidmat pencarian Bing. Chatbot Virgin Money mengendalikan lebih daripada 195,000 interaksi pelanggan sebulan, membantu ejen perkhidmatan mereka memberi tumpuan menjawab pertanyaan pelanggan yang lebih rumit.

Penelitian Proses dalam Power Automate

Sesebuah organisasi lazimnya mendapati sukar untuk mengenal pasti sekatan dalam aliran kerja dan cara mengatasinya. Untuk membantu menyelesaikan masalah ini, Microsoft mengumumkan ciri-ciri AI generasi akan datang dalam Power Automate Process Mining, memberikan cerapan terperinci pacuan AI kepada pelanggan untuk mengoptimumkan proses sedia ada dan meningkatkan kecekapan melalui automasi dengan pengaturcaraan kod yang rendah. Menerusi Process Mining (Penelitian Proses), pengguna dapat memahami apa yang sedang berlaku di seluruh perniagaan mereka, menggunakan AI yang memberikan pandangan, cadangan aplikasi dan automasi dan juga Power Platform untuk membina penyelesaian mantap yang mereka perlukan. Ketahui lebih lanjut tentang Penelitian Proses dalam Power Automate.

Meluaskan capaian Azure OpenAI

Kami teruja dengan minat yang ditunjukkan dan penerimaan perniagaan terhadap Perkhidmatan Azure OpenAI, dengan lebih daripada 4,500 pelanggan menggunakan produk tersebut. Kami juga gembira untuk melihat hasil menakjubkan yang dicapai oleh pelanggan, seperti membina chatbot menggunakan data organisasi, meringkaskan teks dan mencipta kandungan dengan perkhidmatan ini.

Kini kami membawakan perkhidmatan ini kepada lebih banyak organisasi di seluruh dunia. Minggu lepas, kami memperluaskan capaian kepada Perkhidmatan Azure OpenAI, dengan meningkatkan ketersediaannya di Amerika Utara dan Eropah Barat, sambil membawa perkhidmatan ini ke Asia buat kali pertama.

Keupayaan dan pelaburan baharu Azure

Kami juga akan mengumumkan pelaburan besar untuk meningkatkan skala dan ketersediaan Azure Migrate & Modernize, dan melancarkan Azure Innovate, pelaburan khusus baharu yang kami buat sebagai langkah untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk keupayaan analitik dan AI.  Tawaran baharu ini meluaskan liputan senario dan memberikan insentif dan sokongan yang lebih kukuh untuk segala-galanya daripada peralihan yang pantas dan lancar kepada pembinaan aplikasi baharu pacuan AI.

Kerjasama Meta dan Microsoft

Meta dan Microsoft telah mengumumkan sokongan untuk model bahasa yang luas bagi rangkaian Llama dalam Azure dan Windows. Sebagai sebahagian daripada pengumuman ini, Microsoft akan menjadi rakan kerjasama pilihan Meta apabila mereka melancarkan versi baharu Llama 2 kepada pelanggan komersial buat kali pertama. Pengumuman ini bermakna pelanggan Azure akan dapat menyesuaikan dan menggunakan model 7B-parameter, 13B-parameter, dan 70B-parameter Llama 2 dengan mudah dan selamat dalam Azure.Di samping itu, Llama 2 akan dioptimumkan untuk dikendalikan secara setempat dalam Windows – membolehkan para pencipta perisian di Windows untuk memanfaatkan Llama 2 dengan menyasarkan penyedia pelaksanaan Direct ML menerusi proses kendalian ONNX. Maklumat lanjut mengenai pengumuman ini boleh didapati di sini.

Meluaskan kerjasama strategik dengan Epic

Kami teruja untuk mengumumkan langkah meluaskan kerjasama strategik kami dengan Epic, sebuah syarikat perisian penjagaan kesihatan yang terkemuka, di mana kami menggunakan kuasa AI untuk membantu doktor mengurangkan masa menjalankan fungsi pentadbiran dan meluangkan lebih banyak masa untuk menyediakan khidmat penjagaan yang berkualiti. Epic telah menyepadukan Perkhidmatan Azure OpenAI ke dalam perisian rekod kesihatan elektronik (EHR) untuk menyediakan berbilang penyelesaian, termasuk membantu doktor meneroka data klinikal secara intuitif mirip perbualan bagi membolehkan mereka membalas mesej pesakit dengan lebih cekap. Malah, dengan Nuance DAX Express, kami menerapkan keupayaan dokumentasi klinikal pacuan AI kami terus ke dalam aliran kerja Epic untuk membantu penyedia perkhidmatan meringankan lagi beban kerja pentadbiran yang menimbulkan keletihan, memperluas capaian kepada khidmat penjagaan pesakit dan meningkatkan hasil khidmat penjagaan kesihatan.

Di samping itu, pelanggan Epic kini menggunakan Azure Large Instances untuk mencapai skala yang diperlukan untuk mengendalikan pangkalan data Epic EHR yang besar – sehingga 50 juta akses pangkalan data sesaat. Keupayaan ini membolehkan pelanggan Epic meningkatkan skala mengatasi had penyelesaian infrastruktur awan dikongsi yang terdahulu.

Program baharu Rakan Kerjasama Microsoft AI Cloud

Dalam satu lagi mercu jaya penting, Microsoft Inspire telah melancarkan Program Rakan Kerjasama Microsoft AI Cloud, iaitu generasi seterusnya bagi program rakan kerjasama kami yang membolehkan setiap rakan kerjasama  kami menjana nilai untuk pelanggan dengan memanfaatkan kelebihan Microsoft AI dan Microsoft Cloud. Melalui Program Rakan Kerjasama Microsoft AI Cloud, kami menyediakan portfolio pelaburan yang komprehensif untuk semua model perniagaan rakan kerjasama, pada setiap peringkat kematangan.

Program Rakan Kerjasama Microsoft AI Cloud menggunakan keseluruhan kitaran hayat rakan kerjasama, termasuk pengenalan, menimba kemahiran, membawa produk ke pasaran, insentif dan jualan bersama. Rakan kerjasama akan tetap menerima nilai dan manfaat program yang terdahulu di samping tawaran dan faedah baharu yang secara khusus membabitkan AI. Malah mereka tidak perlu melakukan apa-apa untuk beralih kepada program baharu – kami telah memindahkan semua rakan kerjasama sedia ada kepada program baru berkuat kuasa serta-merta sambil mengekalkan manfaat dan gelaran mereka yang sedia ada. Baca selanjutnya Program Rakan kerjasama Microsoft AI Cloud.

Maklumat terkini tambahan tentang rakan kerjasama

Kami membuka peluang baharu untuk rakan kerjasama membawa produk ke pasaran dan meluaskan perniagaan mereka, termasuk:

  • Pembaharuan ISV Success:  Diumumkan dalam previu Microsoft Inspire yang terdahulu, ISV Success ialah laluan untuk rakan-rakan kerjasama ISV dalam Program Rakan kerjasama Microsoft AI Cloud dan kini disediakan secara umum.  ISV Success menawarkan manfaat produk dan awan, persekitaran demo dan sandbox (medan ujian), rundingan teknikal untuk membina dan menerbitkan aplikasi, dan sebaik sahaja diterbitkan, memberikan sokongan jualan dan pemasaran untuk membantu menggiatkan jualan menerusi pasaran komersial Microsoft. Di samping itu, rakan kerjasama yang mengambil bahagian dalam ISV Success  juga boleh mengakses GitHub Copilot sebagai sebahagian daripada manfaat ISV Success pada akhir tahun 2023.
  • Tawaran persendirian berbilang pihak:  Sebagai sebahagian daripada pelaburan berterusan kami dalam pasaran komersial Microsoft, kami juga mengumumkan tawaran persendirian pelbagai pihak, yang membolehkan rakan kerjasama untuk bekerjasama membuat tawaran tersesuai melalui pasaran komersial Microsoft.
  • Gelaran Rakan Penyelesaian Baharu untuk lebih banyak rakan kerjasama: Kami memperkenalkan gelaran baharu ini sebagai sebahagian daripada Program Rakan kerjasama Microsot AI Cloud untuk memberi peluang kepada lebih banyak rakan kerjasama untuk menyerlahkan keupayaan teknikal masing-masing dan menunjukkan kejayaan pelanggan. Antaranya termasuk gelaran perkhidmatan latihan baharu untuk rakan kerjasama pembelajaran, gelaran ISV untuk rakan kerjasama yang membina penyelesaian sejajar dengan Microsoft Cloud dan kemudahan perkhidmatan awan industri kami, serta gelaran perkhidmatan sokongan.

Kami teruja dengan pengumuman yang dibuat pada hari ini dan bertekad memberikan komitmen untuk mempercepatkan transformasi AI, memacu kejayaan pelanggan dan mendorong pertumbuhan dan keuntungan rakan kerjasama. Maklumat yang disampaikan hanya merupakan gambaran am tentang perkembangan terkini yang diumumkan di Microsoft Inspire – untuk penilaian yang lebih menyeluruh, sila semak sumber tambahan di penghujung siaran ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengumuman hari ini, pastikan anda mendaftar untuk Microsoft Inspire dan mengikuti ucaptama Hari 1 oleh Satya Nadella, Judson Althoff dan Nicole Dezen, atau menonton ucaptama tersebut atas permintaan.