Kementerian Pendidikan Lancar Pelantar Pendidikan Digital Baharu dengan Kerjasama Google, Microsoft dan Apple

 |   Microsoft Malaysia

Ministry of Education and its DELIMa platform

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2020 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini telah mengumumkan penyegaran semula platform pembelajaran digital untuk guru, pendidik dan pelajar iaitu DELIMa, atau ‘Digital Educational Learning Initiative Malaysia’, susulan usahasama beberapa tahun KPM bersama dengan Google, Microsoft dan Apple.

Pelantar ini menawarkan kesemua aplikasi dan servis digital yang diperlukan oleh guru dan pelajar dalam sistem persekolahan Malaysia, termasuk teknologi dan sumber bagi membolehkan pendidikan secara digital seperti Google Classroom, Microsoft O365 dan Apple Teacher Learning Center.

DELIMa 3
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Dr. Habibah Abdul Rahim disertai (mengikut arah jam dari atas kiri) Marc Woo, Ketua Negara Google Malaysia; Dr. Helmi Norman, ‘Apple Distinguished Educator’, dan K. Raman, Pengarah Pengurus Microsoft Malaysia, dalam sesi perbincangan panel yang dihoskan oleh Azlina Kamal, Pakar Pendidikan UNICEF.

DELIMa, yang boleh diakses melalui laman web  ​moe-dl.edu.my, direka mengikut prinsip-prinsip panduan berikut:

  1. Pendemokrasian platform – pembelajaran digital yang dapat diakses oleh semua orang, menyokong ekosistem pelbagai teknologi.
  2. Pembelajaran sepanjang hayat – pengalaman berpusatkan pelajar sehingga pembelajaran dapat dilakukan pada bila-bila masa.
  3. Transformasi digital – komitmen KPM terhadap keperluan masa depan negara.

Platform berkenaan mempunyai pengguna aktif bulanan sebanyak 1.7 juta secara purata setakat ini, menjadikan usaha ini salah satu projek nasional terbesar di dunia. Sistem DELIMa kini melibatkan lebih 10,000 sekolah, 370,000 guru dan 2.5 juta pelajar, jelas menandakan pencapaian Malaysia yang menggalakkan dalam transformasi digital dan kesediaannya di masa hadapan.

Bersempena dengan pelancaran DELIMa, KPM telah menganjurkan sebuah webinar yang menampilkan ucaptama oleh Dr. Habibah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia mengenai pembelajaran jarak jauh dan kebiasaan baharu (new normal) dalam pendidikan Malaysia. Webinar tersebut dihadiri oleh para pendidik tempatan serta wakil-wakil negara dari Google dan Microsoft, bersama dengan Apple Distinguished Educator, yang turut berkongsi peranan penting teknologi dalam transformasi digital Malaysia.

K. Raman, Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia
K. Raman, Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia

“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia telah menggariskan akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan sebagai aspirasi utama untuk sistem pendidikan kita,” kata K. Raman, Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia. “Kami telah giat menyokong teknologi sebagai pemangkin bagi meningkatkan kualiti pendidikan di seluruh dunia. Kami di Microsoft percaya teknologi berkuasa untuk menjadikan pendidikan lebih mudah diakses, inklusif dan seronok, justeru membolehkan lebih banyak orang menerima manfaat daripada pendidikan yang berkualiti, tanpa mengira latar belakang. Penerapan teknologi seperti yang dilihat melalui pelancaran DELIMa amat inovatif, baik dari segi skala dan keunikannya dalam menyentuh setiap aspirasi yang digariskan dalam Pelan Pembangunan. Ini merupakan permulaan yang amat monumental dan Microsoft akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk membantu mengkaliskan masa depan pelajar kami. ”

 


Untuk membaca artikel ini dalam Bahasa Inggeris, klik Ministry of Education Launches New Digital Learning Platform with Participation from Google, Microsoft and Apple

 

Tags: , ,