Parlimen Digital yang Pertama di Dunia Diterajui Warga Belia Dianjurkan melalui Microsoft Teams

 |   Microsoft Malaysia

Parlimen Digital (Digital Parliament) powered by Microsoft Teams

Parlimen Digital yang dianjurkan melalui Microsoft Teams, membolehkan golongan belia di seluruh Malaysia, termasuk masyarakat luar bandar dan orang asli, untuk terlibat dalam wacana pembangunan negara.

KUALA LUMPUR, 17 Julai 2020 – Parlimen Digital pertama di dunia yang diketuai oleh golongan belia baru-baru ini telah menyaksikan sebanyak 222 pemuda-pemudi mewakili setiap kerusi Dewan Rakyat di Malaysia, untuk membincangkan dan meluluskan “undang-undang” dan “dasar-dasar” baharu mengenai isu-isu ekonomi dan pendidikan berkaitan golongan belia di negara ini melalui platform dalam talian.

Persidangan parlimen maya yang dianjurkan selama dua hari menerusi Microsoft Teams mengikuti aturcara persidangan yang sebenar, termasuk pengundian dan pelulusan rang undang-undang. Sesi tersebut disiarkan secara langsung pada 4 dan 5 Julai 2020, dan merekodkan lebih 200,000 penonton untuk kedua-dua hari.

Acara maya itu dianjurkan oleh badan-badan bukan kerajaan yang diketuai oleh golongan belia termasuk Challenger Malaysia, Undi 18, Liga Rakyat Demokratik dan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu Malaysia (UNAM).

Volunteers at Parlimen Digital (Digital Parliament) Malaysia powered by Microsoft Teams
Seramai 222 pemuda-pemudi telah berbahas dan mencadangkan dasar-dasar baharu dalam Parlimen Digital yang pertama itu.

“Parlimen Digital merupakan satu saluran penting bagi para belia untuk menyuarakan pendapat mereka dan melibatkan diri dalam pembangunan dasar dan negara. Kami dapat melihat peningkatan perbualan dan penglibatan, khususnya dalam kalangan anak-anak muda Malaysia yang telah aktif mengambil bahagian sepanjang dua hari tersebut menerusi media sosial. Dengan memberikan akses kepada pemuda-pemudi dan menggalakkan digitalisasi dalam demokrasi, kita dapat mendorong lebih ramai golongan belia untuk terlibat dalam proses ini,” kata Tharma Pillai, pengasas bersama Undi18.

“Dengan adanya digital, kami dapat memastikan penyertaan yang lebih inklusif dan terangkum, dengan setiap latar belakang sosio-ekonomi dan budaya Malaysia diwakili. Sebanyak 30 peratus kerusi diwakili oleh golongan wanita sementara 64 peratus kerusi Sabah dan Sarawak dilantik daripada masyarakat orang asli. Kami juga mempunyai wakil-wakil daripada komuniti orang asli dan kurang upaya. Hasilnya, perbincangan menjadi lebih mantap dan menyeluruh merangkumi isu-isu yang berkait rapat dengan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,” tambah Tharma.

Youth-Led Parlimen Digital Malaysia powered by Teams
Parlimen Digital dianjurkan sepenuhnya oleh sekumpulan sukarelawan – dari pengurusan media sosial dan perhubungan dengan kesemua 222 wakil Ahli Parlimen.

Pada hari pertama, para anggota parlimen telah menyentuh pelbagai idea mengenai ekonomi negara, khususnya ekonomi digital dan keperluan untuk memperkasakan literasi digital. Perbincangan pada hari kedua berfokus pada digitalisasi pendidikan, dengan penekanan pada strategi untuk meningkatkan akses kepada rakyat Malaysia dari komuniti B40 (bawah 40 peratus), orang muda yang kurang upaya serta pendatang asing muda, anak-anak tanpa kewarganegaraan, dan komuniti rentan yang lain.

Walaupun permohonan terbuka kepada rakyat Malaysia berusia antara 15 hingga 35 tahun, usia purata wakil-wakil rakyat yang ‘dilantik’ adalah 21 tahun. Parlimen Digital mendapat sambutan luar biasa, dengan hampir 6,300 permohonan daripada anak-anak muda Malaysia bagi 222 kerusi kawasan parlimen berkenaan. Daripada jumlah permohonan tersebut, lebih 1,500 permohonan telah diterima dalam tempoh 24 jam apabila pendaftaran dibuka. Persidangan Parliman Digital telah diadakan dalam bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia, dengan tafsiran bahasa isyarat.

Dr Jasmine at Digital Parlimen
Dr. Jasmine Begum, Pengarah Hal Ehwal Undang-undang, Korporat and Kerajaan, Microsoft Malaysia & Pasaran Baharu, membentangkan ucapannya di Parlimen Digital.

“Kami di Microsoft bangga menyokong Parlimen Digital yang dianjurkan oleh golongan belia sebagai rakan teknologi mereka. Jelasnya, teknologi menjadi pemangkin penting dalam menghubungkan dan melibatkan golongan belia dari setiap pelosok negara, termasuk orang asli, masyarakat terpinggir dan orang kurang upaya, untuk menyumbangkan idea dan berbincang mengenai isu-isu yang relevan dengan generasi muda di Malaysia. Ianya adalah amat memberangsangkan bagi Malaysia, untuk mempunyai golongan belia muda yang pakar digital, bagi terus memacu perkembangan negara,” kata K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia.

“Para peserta telah menunjukkan kepada kita gambaran sekilas masa depan sekiranya digital menjadi diterapkan dalam proses demokrasi kita. Mereka telah berjaya menghimpunkan kesemua 222 peserta dari pelbagai latar belakang sosio-ekonomi dan lokasi menerusi Microsoft Teams. Malahan, keseluruhan proses telah mengikuti sesi Parlimen sebenar dengan tepat. Ini tentunya memperbaharui komitmen kita untuk mendemokratisasi teknologi dan memperkasakan golongan muda dengan kemahiran digital. Ini seterusnya membolehkan pemimpin masa depan kita untuk terus memacu transformasi digital Malaysia dengan lebih berkesan,” tambahnya.

Digital Parlimen Dewan Rakyat youth representative
Lim Wei Jiet, wakil Yang di-Pertua Dewan Rakyat

Bagi menyokong usaha Parlimen Digital, Microsoft telah menawarkan 500 lesen Office 365 E1 kepada para penganjur untuk memudah carakan sesi maya, di samping memberi bimbingan dan latihan. Tambahan itu, pasukan Microsoft juga berada di lokasi untuk menyediakan tempat dan sokongan di belakang tabir kepada penganjur.

 


Untuk menonton prosiding Parlimen Digital, klik di sini.

Untuk membaca artikel ini dalam Bahasa Inggeris, klik The World’s First-Ever Youth-Led Digital ‘Parliament’ Goes Live with Microsoft Teams

Tags: , , , ,