Microsoft, MDEC dan MaGIC pupuk syarikat teknologi Unikorn akan datang Malaysia

 |   Microsoft Malaysia

Pink Unicorn

Pendaftaran bagi ‘Highway to a 100 Unicorns’ dibuka sekarang hingga 31 Oktober 2020

KUALA LUMPUR, 19 OKTOBER 2020: Microsoft Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) telah melancarkan inisiatif Highway to a 100 Unicorns (Usaha Melahirkan 100 Unikorn). Inisiatif ini yang merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh ekosistem syarikat pemula (startup) yang sedang pantas berkembang (Unikorn) dan memperkasakannya dengan bimbingan mentor, teknologi dan capaian kepada pelanggan perusahaan.

Syarikat-syarikat pemula yang layak akan dapat memanfaatkan bengkel-bengkel terkhusus dan tertumpu kepada perniagaan dan teknologi, dan juga webinar perkongsian ilmu bulanan dengan komuniti perusahaan pemula global. Di samping itu, peserta akhir dari Malaysia berpeluang memanfaatkan program bimbingan mentor selama setahun, capaian kepada pelanggan perusahaan dan juga peluang libat urus bersama pakar dan pemimpin industri daripada Microsoft.

“Malaysia mempunyai ekosistem syarikat pemula yang pesat, dan syarikat-syarikat ini memainkan peranan penting dalam ekonomi sebagai pelopor inovasi, penggugat dan perintis. Kami teruja untuk berganding bahu dengan MDEC dan MaGIC untuk memperkenalkan inisiatif ‘Highway to a 100 Unicorns’ di Malaysia. Ini adalah sebahagian daripada komitmen bersama kami untuk memperkasakan syarikat-syarikat pemula tempatan dengan teknologi dan kepakaran yang sesuai, sekaligus membolehkan mereka untuk meluaskan operasi dan mengembangkan sayap di peringkat global. Syarikat-syarikat pemula tempatan kita berpotensi menjadi Unikorn masa hadapan, untuk membantu merangsang pemulihan dan ketahanan ekonomi, dan membina masa depan lebih kukuh di Malaysia,” kata K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia.

“Kuala Lumpur telah diiktiraf sebagai ekosistem permulaan ke-11 teratas di dunia oleh Startup Genome, sekaligus meningkatkan keyakinan bahawa Malaysia merupakan pangkalan pilihan ‘land and expand’ bagi inovator dan pemula teknologi terbaik di rantau ini. Komitmen syarikat-syarikat seperti Microsoft mampu mengukuhkan lagi keyakinan pelabur antarabangsa dengan membawa masuk lebih banyak pengetahuan pasaran, sumber dan rangkaian pelanggan yang luas. Sebagai peneraju ekonomi digital Malaysia, MDEC komited untuk membantu syarikat pemula teknologi tempatan dalam perjalanan pengumpulan dana and pengembangan pasaran global mereka, serta menjalin perkongsian korporat untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia kami sebagai pusat Digital ASEAN,” kata Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

“Inisiatif ‘Highway to a 100 Unicorns’ sejajar dengan komitmen MaGIC untuk mendorong perkembangan ekosistem perusahaan sosial dan syarikat permulaan yang aktif dan lestari di Malaysia, berlandaskan inovasi dan keterangkuman yang didorong impak. Walaupun kita telah menyaksikan pertumbuhan yang stabil selama bertahun-tahun, seluruh ekosistem perlu berinovasi dan merancakkan pertumbuhannya pada kadar yang jauh lebih cepat sejak kebelakangan ini. Inisiatif ini menawarkan peluang menarik bagi para inovator dan pengasas tempatan kami untuk berkembang merentasi sempadan, melalui kolaborasi global serta bimbingan industri. MaGIC, bersama-sama dengan rakan kongsi kami, bersedia untuk membantu para pemula yang ingin memperluas jangkauan mereka,” kata Dzuleira Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC.

Pertandingan Emerge X

Highway to 100 Unicorns poster

Syarikat-syarikat pemula yang ingin turut serta perlu mengemukakan permohonan bagi pertandingan Emerge X terlebih dahulu. Kriteria permohonan bagi syarikat-syarikat baharu yang ingin menyertai Emerge X adalah seperti berikut:

  1. Syarikat Perniagaan-ke-Perniagaan (B2B) dengan kesesuaian produk-pasaran, yang menjana hasil dengan sekurang-kurangnya 3-4 pelanggan.
  2. Syarikat Perniagaan-ke-Pengguna (B2C) dengan jumlah pelanggan besar (melebihi 100K pelanggan) dan menjana hasil.
  3. Bekalan dana yang sedia ada adalah satu kelebihan.

Syarikat-syarikat pemula Emerge X akan diberikan kredit GitHub dan Azure percuma dan boleh menyertai bengkel yang mengkhusus dalam perniagaan dan teknologi.

Peserta akhir dari Malaysia akan diumumkan pada bulan November, untuk turut serta bersama pelopor dan usahawan terpilih dari 16 negara Asia Pasifik lain, termasuk Bangladesh, Bhutan, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Maldives, Myanmar, Nepal, New Zealand, Filipina, Sri Lanka, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Di samping itu, peserta akhir akan memanfaatkan bimbingan mentor selama setahun, bagi mendalami ilmu teknikal dan perniagaan, Kem Pengasas selama 3 hari, capaian kepada pelanggan perusahaan di peringkat global menerusi program jualan bersama unik Microsoft dan juga peluang berinteraksi dengan ahli pakar Microsoft.

Program Highway to Unicorn telah dilancarkan buat kali pertama oleh Microsoft untuk Syarikat-Syarikat Baharu di India, dengan hanya 56 syarikat pemula dipilih menyertai program Emerge X dari enam negeri yang mempunyai lebih 15,000 syarikat pemula. Pemenang Emerge X telah mendapat manfaat besar menerusi sokongan capaian pasaran global, kem pengasas 3 hari bersama mentor bertaraf dunia, capaian kepada dana, bimbingan berterusan dan panduan bagi Azure, kecerdasan buatan, pembelajaran mesin dan banyak lagi. Berbekalkan kejayaan tersebut, program ini diperluaskan ke Asia Pasifik untuk meneroka dan memupuk syarikat-syarikat teknologi serantau yang berpotensi berkembang maju menjadi perusahaan global pada masa depan.

Permohonan ditutup pada 31 Oktober 2020. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://aka.ms/highway

Tags: , , ,