Tinjau selidik Microsoft mendapati pengalaman dalam talian lebih baik dan positif di Malaysia sepanjang 2020

 |   Microsoft Malaysia

Female child using laptop in room
  • Dari 2019 hingga 2020, markah Digital Civility Index atau Indeks Kesopanan Digital Malaysia merosot 4 mata kepada 63; tetapi tetap lebih baik daripada sebahagian besar rantau[1]
  • Peningkatan dalam aktiviti pemalsuan, penipuan dan ‘scam’, serta kenyataan berbaur kebencian dan diskriminasi menyebabkan mata lebih rendah bagi Malaysia

MALAYSIA, 25 FEBRUARI 2021 – Microsoft hari ini mengumumkan keputusan edisi kelima tinjau selidik tahunannya yang bertajuk, “Kesopanan, Keselamatan, dan Interaksi Dalam Talian – 2020” bersama hasil penemuan daripada Indeks Kesopanan Digital (DCI) 2020. Tinjau selidik tersebut meneliti sikap dan persepsi tentang tingkah laku dan interaksi dalam talian, dan juga meningkatkan kesedaran tentang kesan risiko dalam talian terhadap dunia sebenar.

Bagaimanapun, mata DCI Malaysia merosot berbanding 59 mata yang dicatatkan pada 2019 (lebih rendah lebih baik). Ini menunjukkan bahawa lebih ramai orang mengalami interaksi negatif atau menghadapi risiko di dalam talian. Risiko bagi pengguna dalam talian Malaysia yang mencatatkan paras tertinggi termasuk:

  1. Kenyataan berbaur kebencian; meningkat 3% kepada 24%
  2. Pemalsuan, penipuan dan ‘scam’ (memperdaya); yang meningkat 4% kepada 24%, dan
  3. Diskriminasi; meningkat 2% kepada 14%.

Microsoft meninjau selidik 500 rakyat Malaysia, dan bertanyakan pendapat responden tentang pendedahan mereka kepada 21 risiko dalam talian berbeza yang meliputi empat kategori: tingkah laku, seksual, reputasi, dan peribadi/gangguan. Hasil tinjauan mendapati Malaysia mencatatkan prestasi lebih baik daripada sebahagian besar rantau Asia-Pasifik (APAC) dari segi kesopanan dalam talian pada 2020, dengan 63 mata DCI berbanding 66 mata bagi APAC.

“Tinjau selidik tahunan Microsoft mengenai kesopanan digital penting dalam usaha kita meningkatkan kesedaran dan menggalakkan interaksi positif di dalam talian, lebih-lebih lagi pada masa-masa sukar ini. Walaupun rakyat Malaysia kini lebih bergantung kepada dan sedia menerima pakai teknologi digital berbanding masa lepas dalam suasana COVID-19 dan norma penjarakan sosial, kita semua mesti bersatu hati untuk mewujudkan Internet yang lebih selamat yang menyediakan pengalaman lebih baik dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat kita,” kata Liz Thomas, Ketua Keselamatan Digital Serantau, Asia-Pasifik, Microsoft. “Hari Internet Lebih Selamat yang telah diraikan awal bulan ini mengingatkan kita bahawa kerajaan, organisasi dan individu memainkan peranan masing-masing untuk menjadikan Internet tempat yang lebih baik untuk semua sama ada untuk bekerja atau berhibur.”

Remaja merintis jalan

Student using laptopRemaja (berumur 13-16 tahun) di Malaysia didapati memainkan peranan sebagai pendorong tingkah laku positif dalam DCI, dan mencatatkan 57 mata bagi kesopanan dalam talian, berbanding orang dewasa yang mencatatkan 68 mata.

Tambahan lagi, 37% responden di Malaysia berkata kesopanan dalam talian bertambah baik semasa pandemik, disebabkan sentimen keprihatinan yang mendorong orang ramai saling membantu dan memberi semangat kepada satu sama lain, manakala 17% menyatakan kesopanan dalam talian bertambah teruk akibat penularan maklumat yang palsu dan mengelirukan dan lebih banyak serangan peribadi dan komen negatif.

Risiko yang dihadapi oleh pengguna dalam talian kini semakin kerap dan ketara dalam bentuk hantaran tanpa nama kebelakangan ini, dengan 12% daripada responden Malaysia melaporkan risiko dalam talian yang dialami dalam tempoh seminggu lepas, dan 47% berkata risiko yang dihadapi mereka berpunca daripada orang tidak dikenali di dalam talian.

“Kami berbesar hati untuk melihat generasi masa depan kita menerajui usaha negara ke arah interaksi positif di dalam talian, dan menyaksikan warga digital bersatu padu dan menambah baik komuniti dalam talian semasa pandemik,” tambah Liz. “Namun begitu, ancaman yang memecah-belahkan warga digital seperti maklumat palsu dan mengelirukan serta tingkah laku dalam talian yang kurang sopan masih menghantui dunia Internet. Microsoft menyeru rakyat Malaysia untuk bertindak secara positif dan membina dunia maya yang mendorong setiap insan dan organisasi untuk mencapai mercu jaya lebih tinggi.”

Menyentuh tinjauan tahun 2021, antara harapan paling besar rakyat Malaysia pada dekad akan datang ialah untuk lebih menghormati satu sama lain (74%), meningkatkan keselamatan (66%), kesejahteraan (35%), kesopanan (31%) dan budi baik (26%).

Membina Internet lebih selamat

Female using laptopDi Malaysia dan APAC, Microsoft berganding bahu dengan kerajaan, ahli akademik, masyarakat madani dan pihak berkepentingan lain untuk berkongsi amalan terbaik tentang keselamatan digital, menyampaikan maklumat dalam perdebatan tentang dasar dan pengawalseliaan dan mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih baik dan sihat.

Dalam usaha untuk membina Internet yang lebih baik dan selamat, Microsoft juga menganjurkan Cabaran Kesopanan Digital, yang menggariskan empat prinsip yang boleh diamalkan sekarang oleh pengguna dalam talian:

  1. Mematuhi “amalan terbaik” – Bertindak dengan cara yang saling memahami, penuh kasih sayang dan berbudi bahasa dalam setiap interaksi, dan melayan semua orang secara terhormat dan bermaruah
  2. Menghormati perbezaan – Menghargai perbezaan budaya dan menerima perspektif berbeza, berinteraksi secara sopan-santun dan mengelakkan ejekan dan serangan peribadi
  3. Berhenti sejenak sebelum membalas – berhenti dan berfikir sebentar sebelum membalas hantaran dan tidak menghantar atau mencatat sesuatu yang boleh menyinggung perasaan atau memburukkan nama orang lain serta mengancam keselamatan
  4. Berdiri teguh untuk diri sendiri dan orang lain – Memberitahu orang lain jika anda rasa tidak selamat, memberikan sokongan kepada mereka yang menjadi sasaran penderaan atau kezaliman dalam talian, dan melaporkan aktiviti yang mengancam keselamatan

Dapatkan lebih banyak tip daripada Microsoft tentang keselamatan dalam talian di https://www.microsoft.com/en-us/digital-skills/online-safety-resources, dengan maklumat terkini di Facebook (@saferonline) dan Twitter (@Safer_Online).

Keputusan penuh tinjau selidik kesopanan digital Microsoft 2020 boleh didapati di https://www.microsoft.com/en-us/digital-skills/digital-civility.

[1] Dalam DCI, mata lebih rendah menunjukkan tahap kesopanan dalam talian lebih tinggi