Grab dan Microsoft bekerjasama untuk meningkatkan kemahiran rakan pemandu dan penghantar di Malaysia

 |   Microsoft Malaysia

Grab and Microsoft skilling
  • Program yang dibangunkan oleh kedua-dua syarikat ini telah mencapai sasaran 70% penyertaan tahun ini dalam hanya tiga bulan sejak ia diperkenalkan.
  • Program ini akan menjadi sebahagian daripada GrabBenefits, sebuah program yang menyediakan manfaat untuk para pekerja platform dalam ekonomi gig.
  • Kerjasama ini mengukuhkan lagi komitmen yang dikongsi bersama untuk memacu keterangkuman digital dalam kalangan komuniti Asia Tenggara.

Grab dan Microsoft mengumumkan kerjasama mereka di Malaysia dengan program latihan dan pembangunan untuk memperkasakan rakan pemandu dan penghantar dengan kemahiran digital. Diperkenalkan pada Februari 2021, program latihan tersebut akan memanfaatkan sepenuhnya kepakaran yang dimiliki oleh Grab dan Microsoft bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang diatur khusus untuk rakan pemandu dan penghantar, tanpa mengira tahap literasi digital mereka dengan matlamat untuk membantu mereka mencari pekerjaan di luar pekerjaan platform.

Program latihan itu akan ditawarkan menerusi GrabBenefits, program yang direka khas untuk rakan Grab bagi meningkatkan kemahiran dan menambahbaik kualiti kehidupan mereka. Rakan penghantar dan pemandu Grab boleh mengakses program latihan melalui GrabAcademy di dalam aplikasi rakan Grab. Inisiatif tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 10,000 rakan pemandu dan penghantar di Malaysia menjelang penghujung 2021 dan telah berjaya mencapai sasaran 70% penyertaan tahun ini dalam hanya tiga bulan sejak ia diperkenalkan.

Rashid Shukor, Pengarah Operasi Negara, Grab Malaysia berkongsi, “Sebagai penyokong ekonomi digital, kami ingin memberik rakan pemandu dan penghantar dengan sumber pembelajaran untuk mereka belajar dan membantu menambahbaik ilmu literasi digital mereka. Kami sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Microsoft bagi membawakan program pembelajaran ini kepada rakan-rakan Grab dan memberi peluang kepada mereka untuk cemerlang dalam ekonomi digital negara yang sedang berkembang dan kami amat teruja dengan kadar penyertaan yang memberangsangkan dari kalangan komuniti kami setakat ini.”

K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia berkata, “Selaras dengan kemajuan negara yang menuju ke arah pemulihan ekonomi yang menyeluruh seperti yang dirangkakan dalam inisiatif MyDIGITAL, ia adalah penting untuk kita membantu memajukan ekuiti digital dan kemahiran digital untuk semua. Kami amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Grab untuk mewujudkan jalan untuk komuniti rakan pemandu dan penghantar untuk menjadi peserta aktif dalam ekonomi digital negara kita. Program ini adalah sebahagian daripada komitmen Microsoft Bersama Malaysia untuk memperkasakan seramai 1 juta rakyat Malaysia dengan kemahiran digital, membolehkan setiap orang mencapai lebih banyak lagi dalam masa depan digital Malaysia.”

Rashid Shukor and K Raman during the Bersama Malaysia event
K Raman (kiri) dan Rashid Shukor (kanan), pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Microsoft dan Grab di acara Microsoft Bersama Malaysia pada April 2021. Turut menyaksikan majlis itu adalah Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kursus “Pengenalan kepada Literasi Digital”, program latihan dan kemahiran pertama yang bakal dilancarkan mengandungi enam modul yang meliputi kandungan asas pengkomputeran dan kemahiran digital seperti penggunaan internet, alat komunikasi dan produktiviti dalam talian, keselamatan dalam talian, dan banyak lagi. Pada penghujung setiap modul, para peserta akan dianugerahkan dengan sijil daripada Grab dan Microsoft.

Siti Fatimah, rakan pemandu Grab berkongsi “Sebagai seorang orang kurang upaya, saya amat bersyukur kepada Grab Malaysia kerana menyediakan peluang kepada komuniti kami untuk menjana pendapatan dan keupayaan untuk menyara diri kita menerusi usaha dan kerja keras tanpa perlu bergantung kepada bantuan kebajikan. Sokongan yang diberikan dengan mengambil kira dan disesuaikan mengikut keunikan keadaan kami, yang selalunya terlepas pandang atau diabaikan ternyata amat berharga dan membolehkan kami berbangga dengan apa yang kami lakukan. Keupayaan untuk menyara diri sendiri adalah sangat penting bagi saya, oleh itu saya tidak sabar untuk meningkatkan kemahiran diri berkaitan dengan teknologi agar saya dapat bersaing dengan masyarakat dunia yang lain.”

Mohd Farihan Bin Nordin, rakan penghantar Grab berkongsi “Sebagai seorang yang berusia 40 tahun, teknologi adalah suatu bidang yang baru bagi saya dengan hanya memiliki kemahiran asas Microsoft Office untuk bekerja. Saya telah menjadi rakan penghantar sambilan Grab selama 5 tahun dan kini berminat untuk menyertai kursus kemahiran yang ditawarkan oleh Microsoft dan Grab. Ia telah membuka peluang kepada saya untuk belajar tip-tip dan bagaimana untuk mengendalikan perisian teknologi dengan lebih baik, yang pastinya sangat bermanfaat dalam kerjaya utama saya. Saya amat menghargai peluang yang disediakan oleh Grab dan kemudahan untuk mengakses kursus meningkatkan kemahiran ini.”

Kerjasama Meningkatkan Kemahiran Serantau di antara Grab dan Microsoft

Di peringkat antarabangsa, Grab dan Microsoft telah lama menjalinkan kerjasama dalam usaha membantu Asia Tenggara merapatkan jurang digital selaras dengan pemesatan usaha negara-negara di rantau ini untuk membina ekonomi berteraskan digital. Pada 2019, kedua-dua syarikat itu telah mengumumkan kerjasama serantau bagi melengkapkan para pekerja dengan kemahiran teknologi yang diperlukan menerusi program latihan, latihan semula kemahiran dan sokongan pembangunan kerjaya.

Kerjasama serantau ini turut menyumbang kepada pencapaian matlamat impak sosial Grab iaitu “GrabForGood” yang termasuk usaha membawakan literasi digital dan keterangkuman yang lebih besar kepada 3 juta penduduk di Asia Tenggara menerusi kerjasama dengan kerajaan, syarikat swasta dan organisasi bukan bermotifkan keuntungan menerusi inisiatif modal insan teknologi menjelang 2025.